Pekerja-pekerja Telekom Malaysia (TM) merancang mengadakan perhimpunan lebih besar bagi membantah dakwaan kegagalan kesatuan sekerja mereka dalam menuntut pelaksanaan segera umur persaraan minimum 60 tahun.

Jurucakap kumpulan itu Pasupathy PA Palaniappan berkata, perhimpunan mereka Jumaat ini di pejabat Kesatuan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Telekomunikasi Semenanjung Malaysia (Nute) di Kuala Lumpur dijangka mencatat angka jauh lebih besar sehingga 100 orang.

NONE"Sebelum ini mereka (pekerja TM) ingat tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Mereka juga takut polis tangkap.

"Tetapi selepas perhimpunan dulu, walaupun tiada apa-apa berlaku, mesej kami sudah sampai ke pelbagai pihak," kata Pasupathy, 56.

Perhimpunan lusa di Jalan Bangsar dirancang pada jam 10 pagi.

Dalam perhimpunan pertama mereka pada 29 Jun lalu, hanya 20 pekerja TM menyertai acara itu.

NONEKumpulan itu mengambil langkah drastik berpiket terhadap kesatuan sekerja sendiri kerana kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah melaksanakan umur persaraan 60 tahun tetapi hanyatinggal TM yang belum berbuat demikian.

Pasupathy, bekas juruteknik TM berkata, beliau berharap piket pada Jumaat ini akan menjadi tamparan kepada kepimpinan Nute, sekali gus bagi menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kementerian sumber manusia untuk campur tangan.

Sementara itu, Pasupathy juga berkata, sebagai syarikat pertama yang diswastakan pada 1986, TM patut mendepani usaha melaksanakan umur persaraan wajib lebih cepat, seperti dinyatakan dalam Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753).

"Tetapi tidak, akhirnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diswastakan jauh lebih lambat menjadi GLC pertama melaksanakan umur persaraan 60 tahun pada 1 September 2012," katanya.

Bantahan sama di Putrajaya
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) juga menganjurkan perhimpunan dan menyerahkan memorandum tuntutan sama di pejabat perdana menteri di Putrajaya pagi ini.

Menurut Pasupathy yang turut hadir memberikan sokongan, berpuluh-puluh pekerja daripada pelbagai syarikat turut serta bagi merayu perdana menteri campur tangan supaya tarikh pelaksanaan umur persaraan 60 tahun dapat diselaraskan pada bulan ini.

NONE"Kami yakin dengan campur tangan Datuk Seri, perkara ini akan dapat diselesaikan dengan cara terbaik, sekali gus dapat meyakinkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan," memorandum enam halaman itu dipetik.

Akta Umur Persaraan Minimun 2012 diwartawakan pada 16 Ogos 2012 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 2013, sekali gus menyebabkan pekerja yang bersara sebelum itu (antara 1 Januari hingga 30 Jun 2013) tidak mendapat manfaatnya.

Uni-MLC juga mendakwa kementerian sumber manusia melalui warta kerajaan persekutuan mengeluarkan membenarkan 258 syarikat melanjurkan tarikh penguatkuasaan masing-masing kepada 1 Januari 2014.

Malaysiakini telah menghubungi Presiden Nute Mohd Jaafar Abdul Majid bagi mendapatkan reaksinya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan reaksi setakat ini kerana mempunya urusan lain dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Malaysiakini juga cuba mendapatkan reaksi daripada TM berhubung perkara sama. _ Malaysiakini, 17/7/2013, Protes lebih besar isu bersara 60 tahun