Sunday, October 20, 2013

Islam dan hak pekerja ... adakah Islam membenarkan sistem 'contractor for labour'? diskriminasi?

Apakah yang Islam menyatakan mengenai hak pekerja? Jika ada yang mahu berkongsi. silakan atau rujuklah kami kepada sumber sedia ada...Layanan yang harus diterima pekerja adalah sama... dan bila penindasan berlaku dan diketahui, apakah tindakan kita? Hanya mengamati cerita penindasan, menyatakan simpati atau juga BERTINDAK memastikan penindasan itu berhenti dan keadilan dicapai..



Pekerja kilang ditindas majikan

Ada sebuah syarikat makanan terkenal di Malaysia, majoritinya pekerja Islam bertungkus-lumus menaikkan jualan syarikat sehingga produknya terkenal sehingga kini.

Tapi pengurusan dalaman syarikat terutama bahagian pemasaran yang tahu bekerja bagaikan ditindas oleh bangsa sendiri.

Saban tahun harga produk dinaikkan sesuka hati (bukan kawalan kerajaan) menyebabkan kuantiti jualan amat sukar dicapai setiap bulan oleh pekerja pemasaran.

Ini disebabkan faktor persaingan dengan produk lain yang lebih murah dan kenaikan harga produk syarikat secara mendadak.

Majikan pula mengugut jika tidak capai sasaran jualan, gaji akan dipotong separuh, sedangkan sebelum ini elaun sudah dipotong dan tuntutan sangat lambat dibayar, bahkan selalunya lebih dua bulan.

Hal ini menyebabkan pekerja pemasaran terpaksa berhutang untuk meneruskan kerja. Apakah hukumnya majikan bertindak sedemikian?

Pihak majikan sangat angkuh apabila bercakap, contohnya syarikat yang memberi rezeki pada pekerja seolah-olah ia bukan daripada Allah. Berdosakah kita jika menyokongnya walaupun tak ikhlas?

Ini berbeza dengan syarikat Cina yang bukan beragama Islam, majikannya sangat menghargai pekerja yang rajin dan memberi banyak nasihat, malah beri sokongan jika pekerja menghadapi masalah kerja.


Nur
Selangor

Islam menentang segala bentuk penindasan, eksploitasi dan monopoli dalam pekerjaan dan kegiatan ekonomi.

Hal ini kerana semuanya termasuk dalam kategori menzalimi orang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Contohnya, Islam menghendaki gaji atau upah dibayar segera sehingga dikatakan sebelum kering peluh lagi upah hendaklah dibayar.

Menahan gaji atau upah pekerja dikira menzalimi diri pekerja itu sendiri dan ahli keluarganya.

Allah SWT mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud: “...dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya...” (Surah al-A'raf, ayat 85)

Sepatutnya perniagaan orang Islam lebih baik daripada orang bukan Islam kerana Islam mengajar nilai baik dalam kehidupan dan pekerjaan.

Dengan itu syarikat Islam boleh menjadi contoh kepada orang lain dalam semua perkara termasuk pengurusan, perkhidmatan, mutu barangan dan sebagainya.

Majikan yang bersikap angkuh dan tidak menghargai jasa pekerjanya sepatutnya tidak berlaku dalam syarikat diketuai orang Islam.

Menyokong amalan tidak baik syarikat dikira bersubahat sama. Sepatutnya anda menyuarakan ketidakpuasan hati pekerja kepada pihak syarikat untuk tindakan pembaikan dan sebagainya.

Sekiranya tidak, ramai pekerja akan berpindah kepada syarikat yang lain dan ini akan menjatuhkan nama dan prestasi syarikat berkenaan.


Segala kemusyikilan sila e-mel kepada: fikrah@mediaprima. com.my -

Sumber:- myMetro

No comments:

Post a Comment