Tuesday, February 17, 2015

Wujudkan Skim Bantuan Untuk Golongan Hilang Pekerjaan Secara Mengejut - MTUC


Wujudkan Skim Bantuan Untuk Golongan Hilang Pekerjaan Secara Mengejut - MTUC

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mewujudkan dengan segera skim bantuan kecemasan untuk mereka yang hilang pekerjaan secara mengejut.

Setiausaha agungnya N. Gopal Krishnan berkata langkah itu bertujuan mengelak pekerja terbabit dan keluarga mereka terjerumus ke lembah kemiskinan.

"Seperti banjir baru-baru ini, kehilangan pekerjaan berlaku dengan serta-merta serta tanpa diduga dan pekerja terjejas serta keluarga mereka memerlukan bantuan kecemasan untuk menghadapi keadaan itu sebelum boleh kembali berdikari," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bantuan itu, kata beliau, adalah bersifat sementara, mungkin bagi tempoh tidak lebih enam hingga 12 bulan, tempoh yang diperlukan bagi mereka yang hilang punca pendapatan untuk mencari pekerjaan baharu.

Skim bantuan kehilangan pekerjaan terdapat di banyak negara, termasuk Thailand, kata Gopal Krishnan.

Beliau berkata Program Bantuan Kehilangan Pekerjaan Thailand, yang wujud sejak 2004, membolehkan mereka yang hilang pekerjaan kerana ditamatkan perkhidmatan, menerima 50 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh tidak lebih 180 hari dalam setahun.

Bagaimanapun, syarat sewajarnya perlu diwujudkan seperti pemohon perlulah bersedia berusaha untuk mencari pekerjaan atau mengikuti latihan kemahiran, kata Gopal Krishnan.

"Di Malaysia, adalah wajar bantuan bulanan ini berjumlah 50 peratus daripada gaji atau RM1,000, yang mana lebih tinggi," katanya.

Gopal Krishnan berkata MTUC menyertai Persekutuan Majikan-majikan Malaysia menyeru para majikan supaya tidak membuang pekerja berikutan kemerosotan pertumbuhan ekonomi yang dijangka berlaku tahun ini.

Katanya kesatuan sekerja bersedia berbincang dengan majikan bagi mencari penyelesaian konkrit untuk manfaat pekerja dan majikan dalam menghadapi keadaan sukar.

-- BERNAMA -

No comments:

Post a Comment