Wednesday, March 7, 2012

Himpunan Pekerja pada 30 Mac, 3 Petang - MTUC - hari Jumaat, mengapa bukan Sabtu?

Mengapa adakan protes ini pada hari Jumaat(30 Mac) - lebih baik pada hari Sabtu(31 Mac) atau hari Ahad supaya lebih ramai dapat turun padang pada hari yang bukan hari kerja? Bukan senang dapat cuti atau keluar protes pada hari Jumaat - adakah MTUC hanya mahu pekerja penuh masa 'union' yang hadhir - lebih praktikal apa-apa protes atu Himpunan Pekerja di Malaysia diadakan pada hari Sabtu, Ahad atau Cuti Umum. Pasti juga ramai pekerja yang mahu datang dari luar bandar - dan protes hari Jumaat adalah tidak praktikal - dan kalau diteruskan akan kita dapat lagi bilangan kecil sahaja...bukan beribu-ribu, puluhan atau ratusan ribu...
 
Himpunan MTUC protes menteri 30 Mac
Wartawan Sinar Harian
7 Mac 2012
Dr S. Subramaniam
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan Himpunan Pekerja pada 30 Mac ini membantah pendirian Kementerian Sumber Manusia dalam beberapa isu berkaitan dengan Akta Kerja dan masa depan kesatuan sekerja.

Himpunan Pekerja bagi melahirkan pendirian protes itu akan diadakan di pekarangan Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.
Tarikh mengadakan perhimpunan itu diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa tindakan yang dipengerusikan oleh Awang Ibrahim, petang semalam.

Awang, yang juga Setiausaha Kewangan MTUC berkata, Himpunan Pekerja itu selaras dengan ketetapan sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subarmaniam, yang dicapai oleh badan induk kesatuan sekerja itu dua minggu lalu, berikutan siri isu berkaitan dengan penubuhan kesatuan sekerja dalaman di beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan pindaan Akta Kerja yang diluluskan Parlimen tahun lalu.

"Kami tidak menamakan piket, tetapi beri nama Himpunan Pekerja, bertujuan membantah tindak tanduk Kementerian Sumber Manusia dan Menteri Sumber Manusia dalam isu-isu seperti pindaan Akta Kerja, penubuhan kesatuan sekerja dalaman dan beberapa isu lain," kata beliau ketika dihubungi.

Awang berkata perhimpunan itu, yang akan disertai oleh ahli dan penyokong MTUC dari seluruh negara, akan diadakan jam 3 petang.

Baru-baru ini, Presiden MTUC Khalid Atan memberitahu Sinar Harian bahawa pihaknya mengambil pendirian hilang kepercayaan ke atas kepimpinan Dr Subramaniam sebagai Menteri Sumber Manusia berikutan sikap beliau yang didakwa tidak menunjukkan keseriusan dalam menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan pekerja-pekerja negara ini.

Sehubungan itu kata beliau, MTUC akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan kerjasama beliau dan campur tangan menyelesaikan perkara-perkara berbangkit dengan segera agar ia tidak memburukkan kepentingan rakyat khususnya pekerja negara ini.

Semalam, Dr Subramaniam selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaaan mengumumkan pengecualian semua sektor selain perladangan daripada pemakaian peruntukan berkaitan kontraktor tenaga kerja, salah satu peruntukan baru dalam Akta Kerja yang dipinda tahun lalu.

Ia susulan protes dan siri piket MTUC sejak akhir tahun lalu.

"Perkara ini akan dilaksanakan menerusi Perintah Pengecualian mengikut Seksyen 2B Akta Kerja 1955 yang mana ia merupakan cadangan daripada pihak MTUC," katanya

Dr Subramaniam berkata, keputusan itu diambil bagi menyelesaikan kemelut berikutan bantahan MTUC terhadap pindaan melibatkan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011. Ia diluluskan Parlimen pada Disember 2011.

Menjawab perubahan pendirian Kementerian Sumber Manusia itu, Awang berkata:

"Jawatankuasa Tindakan membuat keputusan berdasarkan apa yang telah diputuskan sebelum ini, dalam mesyuarat Majlis Am. Bermakna tindakan protes terhadap Menteri Sumber Manusia dan Kementerian Sumbe Manusia akan diadakan 30 Mac ini."

"Melainkan Majlis Am atau Jawatankuasa Eksekutif mahu mengubah pendirian ini. Itu diserahkan kepada Majlis Am dan Jawatankuasa Eksekutif," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata, beliau belum laporan daripada Jawatankuasa Tindakan.

"Jawatankuasa Tindakan akan menyerahkan laporan dan kami akan mengambil kira perkembangan terbaru termasuk pengumuman Menteri Sumber Manusia semalam dalam menentukan tindakan-tindakan susulan," katanya lagi. Sinar Harian, 7/3/2012, Himpunan MTUC protes menteri 30 Mac

No comments:

Post a Comment