Wednesday, January 9, 2013

Majikan didakwa manipulasi gaji minimum

ARKIB : 08/01/2013

Majikan didakwa manipulasi gaji minimum

PUTRAJAYA 7 Jan. - Kerajaan digesa memantau tindakan sesetengah majikan berstatus multinasional yang didakwa memanipulasi arahan pelaksanaan gaji minimum dengan menggabungkan gaji pokok asal bersama pelbagai elaun lain.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah mendakwa, pihaknya pernah menerima aduan pekerja industri berhubung tindakan seumpama itu.
Katanya, majikan tidak boleh bertindak sedemikian kerana bertentangan dengan arahan daripada Majlis Perundingan Gaji Negara berhubung pelaksanaan gaji minimum.

"Semasa taklimat gaji minimum oleh majlis itu baru-baru ini, mereka tidak jelaskan langsung tentang membenarkan majikan menggabungkan gaji pokok RM900 sebulan dengan elaun yang wujud sebelum ini.

"Tetapi apa yang berlaku sekarang terdapat majikan terutama dalam industri semikonduktor menggabungkan gaji pokok dalam lingkungan RM680 sebulan dengan elaun makanan, kehadiran dan lain-lain berdasarkan notis yang kami terima," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Perintah kadar gaji minimum berkuatkuasa awal bulan ini melibatkan kira-kira tiga juta tenaga kerja swasta dalam pelbagai sektor.

Pelaksanaannya diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April lalu dan diwartakan pada 16 Julai lalu manakala kadarnya akan dikaji setiap dua tahun.

Kadar gaji minimum sektor swasta iaitu bagi Semenanjung sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam

Mengikut Akta Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap pekerja bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya majikan boleh didenda masing-masing RM1,000 setiap pekerja sehari dan seterusnya denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, tindakan menggabungkan gaji pokok dan elaun hanya boleh dilaksanakan sekiranya terdapat persetujuan antara majikan dengan kesatuan atau pun pekerja sendiri.

Namun, katanya, apa yang dilakukan oleh majikan terbabit ialah mengambil keputusan sendiri tanpa berunding terlebih dahulu.

"Perkara ini mewujudkan diskriminasi dan ketidakadilan terhadap pekerja shift kerana mereka bukan bekerja pada waktu norma.

"Seharusnya majikan berbincang terlebih dahulu dan bukannya menggunakan kuasa autokratik untuk mengeluarkan notis mengingkari arahan majlis tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Wan Noorulazhar menggesa supaya mana-mana pekerja industri yang ditindas supaya tampil membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut. - Utusan Online, 8/1/2013, Majikan didakwa manipulasi gaji minimum

No comments:

Post a Comment