Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyeru 12 juta pekerja di negara ini supaya memberi keutamaan kepada keharmonian industri, kestabilan ekonomi dan politik serta kebajikan mereka apabila mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
  
Presidennya Khalid Atan berkata sebagai kelompok masyarakat yang mempunyai jumlah anggota yang begitu ramai, pekerja perlu menunaikan hak mengundi masing-masing dengan penuh berhemat kerana keputusan pilihan raya mempunyai kesan yang amat besar terhadap masa depan mereka.
  
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata golongan pekerja patut diberi pujian kerana sumbangan besar mereka dalam mewujudkan suasana industri yang amat stabil, yang sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan negara.
  
Keharmonian industri yang wujud ini juga membantu menarik pelabur asing ke Malaysia, yang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
  
Pilihan Raya Umum ke-13 dijangka diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh terdekat.
  
Khalid berkata MTUC bekerjasama rapat dengan kerajaan dan majikan dalam memelihara keamanan industri serta menyelesaikan masalah berkaitan guna tenaga secara baik.
  
Katanya kepimpinan MTUC bertekad untuk meningkatkan taraf hidup pekerja dan komited sepenuhnya terhadap usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.
  
Khalid berkata walaupun masih terdapat banyak isu tertangguh, namun beliau yakin segalanya akan dapat diselesaikan hasil hubungan dan kerjasama rapat yang terjalin antara MTUC, kerajaan dan majikan.
  
- Bernama