Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH pengarang@utusan.com.my
 SEBAHAGIAN  daripada 300 ahli MTUC dan
 NUBE mengadakan Piket MTUC di hadapan Kompleks D, Putrajaya, semalam.  -
 UTUSAN/Zaki Amiruddin 
PUTRAJAYA 12 Dis. - Kongres Kesatuan Sekerja 
Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan campur tangan dalam isu pemindahan 
kakitangan Bank Hong Leong Bhd. ke beberapa negeri yang dibuat tanpa 
persetujuan dan rundingan antara majikan dengan pekerja.
Presidennya, Mohd. Khalid Atan berkata, tindakan tersebut bukan 
sahaja memberi tekanan emosi dan perasaan kepada pekerja tersebut, malah
 kemungkinan besar semua 50 pekerja yang terlibat itu bakal diambil 
tindakan tegas termasuk dipecat jika tidak akur pada arahan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya membantah tindakan itu kerana memberi 
implikasi besar kepada nasib pekerja dan keluarga masing-masing 
berikutan rata-rata yang dipindahkan itu merupakan kakitangan bawahan 
dan tidak mampu menampung kos kehidupan di bandar.
"Kita mengecam tindakan kejam terhadap 50 pekerja Bank Hong Leong ini
 yang dihantar tanpa persetujuan ke Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur
 dengan alasan untuk memusatkan operasi syarikat.
"Lebih kejam majikan mereka juga bertindak keterlaluan apabila tidak 
membenarkan pekerja kembali bekerja dan menandatangani kehadiran di 
tempat lama serta mengambil cuti tahunan," katanya kepada pemberita 
semasa mengetuai Piket MTUC di hadapan Kompleks D, di sini hari ini.
Piket yang bermula pukul 3 petang itu turut dihadiri kira-kira 300 
pekerja yang mewakili MTUC dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank 
(NUBE).
Menurut Mohd. Khalid, lebih dikesalkan bank terbabit turut bertindak 
zalim apabila tidak membenarkan pekerjanya menggunakan tandas, surau dan
 tidak boleh menunaikan solat.
Katanya, laporan rasmi telah diserahkan kepada pihak Kementerian 
Sumber Manusia tetapi sehingga kini tiada maklum balas dan tindakan 
diambil bagi menjaga kebajikan pekerja tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan membatalkan penubuhan 
Kesatuan Pekerja Bukan Eksekutif Maybank (Mayneu) dan meminta menteri 
berkenaan menggunakan Seksyen 71A Akta Kesatuan Sekerja 1959 untuk 
membatalkan penubuhannya.
"Kita juga minta pihak kementerian melihat semula isu kepimpinan 
kesatuan pekerja yang dibuang kerja kerana menjalankan tanggungjawab 
mengikut undang-undang, isu pelaksanaan gaji minimum tanpa diskriminasi 
serta tidak dicampur dengan elaun lain.
"Kerajaan juga digesa melaksanakan had umur persaraan swasta kepada 
60 tahun tanpa sebarang pengecualian dan bertindak tegas menghentikan 
pengambilan pekerja oleh syarikat pembekal," katanya.
Sementara itu, Mohd. Khalid berkata, pihaknya mendesak kerajaan 
supaya mendengar keluhan pekerja yang tertindas itu atau berhadapan 
dengan piket yang lebih besar di seluruh negara. - Utusan Online, 13/12/2013
No comments:
Post a Comment