Ucapan Hari Pekerja 2015
29 April 2015 Print page
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
N. Gopal Kishnam
Setiausaha Agung
Kita merayakan Hari Mei tahun ini
dengan harapan bahawa kita akan terus berjuang dan membina kesatuan
sekerja yang lebih kukuh untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh
pekerja-pekerja di Malaysia. Kita perlu memperkukuhkan gerakan pekerja
di Malaysia untuk memperjuangkan hak asasi pekerja di negara ini,
sepertimana kita berusaha membangunkan ekonomi negara ini dalam arus
global ini. Cabaran dan senggitan akan terus kekal, tiada cabaran maka
tiada kesatuan. Oleh itu kita tidak harus putus asa malah teruskan
perjuangan kita.
GAJI MINIMUM RM1200 DAN PENINGKATAN KETIDAKSAMAAN PENDAPATAN
Gaji minimum telah menjadi topik hangat
di Malaysia. Gaji minimum bukanlah dana kebajikan yang diberikan kepada
pekerja-pekerja Malaysia. Hak untuk mendapat gaji yang berpatutan untuk
meneruskan hidup adalah hak asasi manusia. Walaupun gaji minimum
dilaksanakan, masih terdapat sektor di mana pekerja tidak melihat
manfaat dari gaji minimum. Pekerja-pekerja hotel telah diperdaya bagi
tempoh yang lama.
Ketidaksamaan pendapatan semakin
meningkat ke tahap yang tidak mapan di negara ini. Ini menyebabkan
isu-isu sosial dan kes di mana yang kaya semakin kaya dan yang miskin
menjadi lebih miskin. Keseimbangan perlu diwujudkan bagi mengimbangkan
kedudukan ini supaya majoriti rakyat berpendapatan di Malaysia dapat
berjalan sama-sama dalam arus pembangunan dan memiliki hak yang sama
rata dan menjadi sebahagian dalam arus pembangunan ekonomi negara. Oleh
yang demikian MTUC tuntut supaya gaji minimum diselaraskan kepada
RM1200.
CABARAN BAGI PEKERJA DI MALAYSIA, GST DAN COLA
Kerajaan tidak mengendahkan dan
mengambil kira sentimen rakyat terutama golongan pekerja yang
berpendapatan rendah malah telah memperkenalkan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% pada 1hb April 2015. Ini merupakan satu
lagi contoh hakisan terhadap tahap pendapatan sebenar pekerja di
Malaysia.
Apakah justifikasinya kerajaan memberi
BRIM selepas itu membebankan rakyat dengan cukai GST malah harga
barangan dan perkhidmatan naik berkali ganda. Kajian yang dilakukan oleh
FOMCA menunjukkan bahawa harga barangan telah naik sebanyak 20% sejak
GST diperkenalkan. Bagaimanakah penduduk yang berpendapatan di bawah
paras kemiskinan dapat meneruskan hidup?
Pekerja di Malaysia berhadapan dengan
tekanan bagi memenuhi keperluan harian mereka dan ahli keluarga mereka.
Ini adalah tidak wajar, kerana pekerja-pekerja di negara ini telah
memberi sumbangan besar ke arah pembangunan ekonomi negara.
MTUC telah meminta kerajaan untuk mewajibkan pemberian Elaun Sara Hidup (COLA)
sebanyak RM300.00 dibayar kepada semua pekerja oleh majikan mereka. Ini
adalah hak yang harus dilaksanakan dengan segera oleh setiap majikan.
Majikan dan pelabur sentiasa dengan bangganya mengisytiharkan keuntungan
setiap tahun maka mereka juga harus sanggup berkongsi keuntungan
tersebut dengan pekerja mereka.
COLA bukanlah merupakan suatu bantuan
yang diminta oleh pekerja dari majikan dan kerajaan malah ia merupakan
satu hak keadilan terhadap pekerja daripada pembangunan negara ini.
SISTEM PERHUBUNGAN PERUSAHAAN
Malaysia pernah bangga dengan memiliki
sistem perhubungan perusahaan yang baik, di mana negara-negara lain
sangup berkongsi dan mengamalkannya. Sungguh menyedihkan kini sistem
tersebut telah dimusnahkan.
Sistem perhubungan perusahaan harmoni yang tidak harmoni,
dilewat-lewatkan ini telah menyebabkan pekerja-pekerja yang telah
dipecat menanti tiga hingga lima tahun sebelum kesnya dirujuk ke
Mahkamah Perusahaan.
Majikan yang tidak prihatin boleh
memecat seseorang pekerja dan menjahanamkan hidup keluarga pekerja hanya
dengan sebatang pen dalam sekelip mata sahaja. Malahan bagi mendapatkan
keadilan pekerja terpaksa menunggu begitu lama, yang melibatkan kos
yang tinggi dan bukan mudah bagi seseorang pekerja untuk menampung kos
ini.
Mengenai Perjanjian Bersama, Mahkamah Perusahaan telah menghadkan award kepada dua pertiga(2/3) daripada peningkatan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI).
Ini tidak adil dan tidak wajar. Tidak ada sebab mengapa CPI digunakan
sebagai elemen utama oleh Mahkamah dalam memberi kenaikan gaji kepada
pekerja-pekerja walaupun syarikat memperoleh keuntungan yang besar dan
membayar berjuta-juta ringgit bonus kepada eksekutif kanan mereka.
UNION BUSTING – telah
menyebabkan pengiktirafan kesatuan sekerja dikawal dan berjalan dengan
tidak adil. Sebagai contoh dalam sektor elektronik, majikan enggan
memberi pengiktirafan kepada kesatuan dan menafikan hak kesatuan
daripada melakukan rundingan terhadap perjanjian bersama yang telah
menjurus kepada penafian hak terhadap ahli-ahli kesatuan. Itulah yang
telah berlaku kepada kesatuan RUM, BAT dan lain-lain kesatuan.
Majikan sengaja memberi tekanan
terhadap pemimpin kesatuan dan pekerja-pekerja dengan membuang kerja
mereka manakala dalam kes BAT pula polis telah menahan seramai 11 orang
pekerja yang melakukan piket.
Hak untuk berpiket dan mogok terkandung
dalam akta dan seharusnya kesatuan boleh mempraktikannya untuk
mendapatkan keadilan dan memperjuangkan hak mereka. Namun apakah
kesudahannya? Polis dan pihak berkuasa sentiasa campurtangan dalam
urusan piket yang dianjurkan oleh mana-mana kesatuan dan memangsakan
pihak pekerja dengan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka
yang mempraktikan hak mereka.
Aktiviti anti-Kesatuan
telah menjadi satu perkara biasa dan lumrah. Ia kini dilakukan secara
terbuka dan dengan bangganya oleh majikan. Pihak berkuasa dari
Kementerian Sumber Manusia tidak aktif dan berkuasa untuk menghentikan
perkara ini dari berlaku dan majikan telah menggunakan kesempatan ini
untuk meneruskan aktiviti-aktiviti anti-kesatuan.
PINDAAN AKTA-MEMIHAK KEPADA MAJIKAN:
Walaupun memiliki pelbagai perundangan buruh di negara ini, antara yang
utama iaitu Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan
Sekerja, telah dipinda dari masa ke semasa untuk menghakiskan hak-hak
pekerja dan pengaruh kesatuan sekerja. Walaupun mendapat bantahan kuat
dari MTUC, pindaan yang memberi ruang lebih ke arah penggunaan pekerja
kontrak yang akan memberi tekanan terhadap gaji dan memusnahkan sama
sekali hak-hak asasi lain pekerja secara keseluruhannya di negara ini
masih diluluskan di Parlimen. Ini hanya salah satu daripada banyak
pindaan sejak beberapa tahun yang boleh digambarkan sebagai
anti-pekerja.
MTUC mohon kerjasama pihak kerajaan
untuk membuat semakkan semula terutamanya peraturan undi sulit dan
sebagainya dan mengemaskini akta-akta ini supaya dapat memenuhi
inspirasi kaum pekerja dan sejajar dengan seruan Perdana Menteri RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.
PEKERJA ASING
Perlambakkan pekerja asing di negara
ini perlu diberi perhatian yang serius. Pekerja asing telah dibawa masuk
ke negara ini atas alasan bahawa penduduk tempatan tidak mahu untuk
melakukan pekerjaan tersebut. Namun demikian pada realitinya pekerja
asing dibawa ke negara ini hanya untuk memberi tekanan terhadap gaji
pekerja tempatan. Layanan yang diberikan terhadap pekerja asing amat
mengerikan dan tidak adil sama sekali.
Kebergantungan kepada pekerja asing telah menjejaskan keharmonian perhubungan perusahaan di negara kita.
Pekerja asing datang untuk bekerja di
Malaysia kerana majikan di Malaysia yang memerlukan pekerja ini dan
kerajaan Malaysia mahu mereka terus datang. Pekerja asing, biasanya
datang dari negara-negara miskin dan mereka datang ke sini untuk
mendapatkan wang untuk menanggung diri dan keluarga mereka.
Ramai pekerja asing apabila mereka
datang ke Malaysia untuk bekerja telah berhutang di negara asal mereka
sekurang-kurangnya RM6,000-RM15,000. Ramai pekerja asing telah ditipu
oleh ejen-ejen dengan janji-janji akan dibayar gaji dan faedah pekerjaan
yang tinggi. Malah ramai pekerja asing tidak menikmati hak gaji minimum
sehingga akhir bulan Disember 2014. Ramai juga yang kini sedang
dibebani dengan levi, insurans dan lain-lain bayaran.
Pengenaan undang-undang dan
syarat-syarat yang berbeza bagi pekerja-pekerja tempatan dan asing boleh
memberi kesan buruk kepada pertumbuhan dan keharmonian kesatuan sekerja
di Malaysia malah boleh memudahkan aktiviti union busting dilakukan
dengan mudah. MTUC berpendapat bahawa semua pekerja perlu dilayan sama
rata tanpa mengira agama, bangsa, jantina atau kewarganegaraan.
Pekerja asing adalah pekerja juga dan
memberi sumbangan terhadap pembangunan di Malaysia perlu dilayan sama
rata apatah lagi memberi perkdimatan kesihatan yang wajar kepada mereka
apabila dipetlukan.
PERJANJIAN PERDAGANGAN PERLU MEMBERI MANFAAT KEPADA SEMUA
Perjanjian perdagangan global tidak
memberi manfaat kepada rakyat seperti yang telah dijanjikan. Sebaliknya
ia telah menyebabkan jurang antara pemilik perniagaan kaya semakin
meningkat. 99% tidak mendapat faedah daripada perjanjian perdagangan
global tersebut.
Amerika Syarikat di bawah pimpinan
Presiden Barrack Obama telah mendesak untuk menandatangani Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Malahan syarat-syarat dalam TPPA tidak
dinyatakan dengan jelas kepada rakyat dan Obama nampaknya tidak
mempunyai sokongan daripada Kongres AS mengenai perkara ini.
Kerajaan Malaysia telah mengenepikan MTUC
dalam perkara ini, kerana perjanjian-perjanjian ini memberi kesan
serius dan berpotensi buruk kepada pekerja. Kerajaan juga harus telus
tentang kandungan TPPA kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan
rakyat Malaysia biasa dalam kehidupan seharian.
RATIFIKASI KONVENSYEN 87
Konvensyen 87, amat penting untuk
perkembangan kesatuan sekerja dalam negara ini. Walaupun Malaysia telah
menjadi negara anggota ILO namun masih belum mengiktiraf konvensyen
teras yang penting bagi penubuhan kesatuan sekerja. Selagi konvensyen
ini tidak diiktiraf selagi itulah kita akan berhadapan dengan pelbagai
masalah dalam mempercepatkan penubuhan kesatuan, pengiktirafan dan
menuntut hak pekerja dari majikan-majikan. Kerajaan haruslah dengan
segera mengiktiraf konvensyen ini bagi membolehkan keharmonian wujud di
antara kesatuan, pekerja dan majikan.
BERSATU MTUC
Saya gembira dan bangga dengan
kepimpinan baru MTUC yang kuat, teguh dan kukuh dalam memberi sokongan
padu dan kuat terhadap sebarang isu kesatuan yang dibawa ketengah.
Sokongan yang berterusan dari Majlis Am, kesatuan gabungan dan semua
ahli kesatuan sekerja telah menjadi inspirasi kuat kepada barisan
kepimpinan MTUC untuk meneruskan perjuangan MTUC di negara ini. Kita
perlu bersatu untuk menegakkan hak asasi kaum pekerja di negara ini.
Terdapat banyak yang perlu dilakukan dan kami berjanji akan terus
perjuangkan hak-hak kaum pekerja dan kesatuan sekerja di negara ini.
Saya menyeru kepada semua pemimpin teruskan sokongan anda bagi kemajuan dan keutuhan MTUC bagi kebaikan bersama.
Hidup Pekerja! Hidup MTUC!
Sumber: Laman Web MTUC
No comments:
Post a Comment