Monday, May 4, 2015

Utusan Hari Buruh 1 Mei Parti Rakyat Malaysia (PRM)



Utusan Hari Buruh 1 Mei Parti Rakyat Malaysia (PRM)

Bersatulah Seluruh Umat Buruh Malaysia dan Sedunia  

Parti Rakyat Malaysia mengucapkan selamat Hari Buruh kepada seluruh umat buruh Malaysia dan Sedunia. Bersatulah, buat kesimpulanlah perjuangan  setahun yang lalu, tingkatkan kesedaran politik dan ekonomi umat buruh.  Dalam keadaan sosio-ekonomi negara dan dunia yang  kurang menggalakkan dan penuh dengan ketidakpastian,  tuntutlah  keterjaminan pekerjaan umat buruh (job security), suasana kerja yang lebih kondusif, gaji dan kebajikan yang lebih baik, dan pertahankan hak-hak umat buruh  untuk masa setahun akan datang.  

Hari Buruh tanda kemenangan perjuangan umat buruh di seluruh dunia menentang penindasan dan eksploitasi yang zalim,  menambahbaik keadaan dan suasana tempat kerja, meningkatkan kebajikan dan gaji, serta tuntut dan pertahan   hak-hak umat buruh.

Kini, negara dan masyarakat  kita sedang menghadapi kemelut ekonomi yang serius. Harga minyak mentah dan hasil sumber asli seperti getah terjunam jatuh, sumber-sumber lain kian berkurangan, eksport barangan pembuatan kurang baik, manakala elit pemerintah hidup dengan mewah dan boros, sedangkan rakyat jelata hidup sengsara dan susah.

Dalam keadaan sumber-sumber kita makin tipis,  demi mengisi kewangan yang makin kurang, elit pemerintah tidak menghiraukan kesusahan dan bantahan rakyat jelata, subsidi untuk barangan keperluan asas  ditarik balik, pelbagai cukai dilaksana serta dinaikkan, GST (cukai penjualan dan perkhidmatan) dikenakan dan sebagainya.

Akibatnya, harga barang melambung naik, menyebabkan kehidupan orang ramai tertekan dan terhimpit, kehidupan mereka kian hari kian susah, khususnya keadaan hidup  umat  buruh kasar dan yang bekerja manual paling teruk. Sebaliknya upacara perkawinan anak elit pemerintah mencurahkan perbelanjaan 3 juta ringgit  untuk menghias dewan perkahwinan, sedangkan rakyat  dikenakan dan dibebankan membayar cukai GST 6%.  

Parti Rakyat Malaysia menyeru seluruh umat buruh sama ada bekerja secara manual atau secara intelek  bersatulah, berkesatuanlah, tingkatkan semangat perjuangan  menentang tekanan, penindasan dan eksploitasi, menentang dasar buruh murah  buruh pendatang. Kita semua senasib, sama-sama kita berjuang, mengubah sistem yang tidak munasabah dan menekan, sama-sama mencipta masa  depan yang ceria dan cerah.

Yang benar,


Koh Swe Yong
(Setiausaha Agung PRM)
012-2766551

No comments:

Post a Comment