Kenyataan Media PRM – 29/10/2015
Pekerja Swasta Dan Awam Harus
Menerima Gaji Minima Sama
Parti Rakyat Malaysia(PRM) membantah
tindakan kerajaan Malaysia yang tidak prihatin kepada pekerja sektor swasta di
mana gaji minima hanya akan dinaikkan kepada RM1,000(untuk Semenanjung
Malaysia) dan RM920(untuk Sabah dan Sarawak), sementara pekerja sektor kerajaan
(atau penjawat awam) gaji minima telah dinaikkan kepada RM1,200. Harus tidak
dilupakan bahawa semua pekerja, sama ada swasta atau kerajaan, menyumbangkan tenaga
kepada perjalanan dan pembangunan negara.
PRM berpendapat bahawa semua pekerja,
tidak kira sama ada mereka bekerja di sektor swasta atau kerajaan, harus
mendapat layanan sama dan gaji minima sama.
Ingin juga dinyatakan bahawa pekerja
kerajaan kini menikmati bukan sahaja kestabilan kerja yang lebih, tetapi juga
menerima bantuan beraneka jenis termasuk COLA(Cost of Living Allowance), tetapi semua ini tidak dinikmati pekerja swasta.
Justeru,
secara lojik boleh dikatakan bahawa jika pun ada kadar gaji minima
berbeda, secara adil gaji minima pekerja swasta sepatutnya lebih tinggi
daripada pekerja kerajaan. Kerajaan harus memerlukan majikan swasta
menyediakan skim saperti COLA untuk membantu pekerja swasta.
Secara tambahan, adalah tidak
munasabah mengapa pekerja di Sabah dan Sarawak ditetapkan gaji minima yang kurang
berbanding dengan gaji minima pekerja di Semenanjung Malaysia. Ingin
dinyatakan, bahawa kos sara hidup di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi
berbanding dengan Semenanjung Malaysia. Ini bererti pekerja Sabah dan Sarawak
seharusnya menikmati gaji minima sama, kalau tidak lebih tinggi. Nyatanya kerajaan BN lebih
mengutamakan perniagaan dan majikan daripada pekerja.
Gaji Minima RM900 untuk Semenanjung
Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak, telah mula dinikmati pekerja mulai
tahun 2013, berasaskan Perintah Gaji Minima 2012 yang dikeluarkan pada 16 Julai
2012. Mengikut Akta berkenaan, gaji minima sepatutnya dikaji semula
sekurang-kurangnya dua tahun sekali, bererti sepatutnya gaji minima paling
lewat sepatutnya bertambah mulai 1 Januari 2015 tetapi kerajaan BN yang tidak
prihatin gagal menambahkan kadar gaji minima awal tahun 2015 walaupun kos sara
hidup jelas telah bertambah, antara lain kerana tindakan kerajaan BN
mengurangkan subsidi, pelaksanaan GST dan kenaikan harga barangan.
PRM juga menuntut agar kerajaan,
khususnya Kementerian Kebajikan, menyediakan bantuan kewangan untuk mereka yang
kehilangan kerja dan sedang mencari pekerjaan.
Bantuan kewangan ini harus terus disalurkan kepada pekerja yang
kehilangan pekerjaan sehingga mereka dapat kerja baru atau untuk jangka masa
sekurang-kurangnya 6 bulan, Bukti usaha mencari kerja wajib untuk melayakkan
pekerja mendapatkan bantuan kehidupan ini.
Jumlah bantuan ini harus sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.
Kerajaan yang bertanggungjawab harus memastikan
bahawa semua pekerja Malaysia ada mempunyai pekerjaan tetap dan stabil, dan
sehingga seseorang pekerja kehilangan kerja berjaya mendapat pekerjaan baru,
ianya adalah tanggungjawab kerajaan memastikan bantuan kehidupan diberikan
kepada pekerja sekeluarga.
Majikan perniagaan sangat kecil
saperti kedai-kedai runcit, restoran dan warong makan, gerai pasar dan pasar
tani, kontraktor binaan kecil dan kedai mekanik kereta dan motorsikal khususnya di bandar dan kampung harus
diberikan kelonggaran jika mereka memilih opsyen membayar 50-75% daripada gaji
minima, dengan syarat ada skim perkongsian pendapatan/keuntungan perniagaan
dengan pekerja, di mana peratusan keuntungan yang harus dikongsi dengan pekerja
adalah tidak kurang daripada 40% keuntungan bulanan. Ini adalah kerana kini
banyak peniaga kecil tidak mempunyai pendapatan tetap, dan tidak mampu memberi
komitmen akan membayar gaji minima pun – tetapi sanggup berkongsi keuntungan
dengan pekerja. Niat utama skim sebegini adalah untuk memastikan seberapa boleh
pekerja dapat menerima gaji adil, dan majikan perniagaan kecil tidak disusah-bebankan.
PRM berpendirian gaji minima yang
wajar harus tidak kurang daripada RM1,500, dan harus dikaji semula dan ditingkatkan
setiap tahun. Tindakan menaikkan gaji minima sebanyak RM100 selepas tiga
setengah tahun adalah tidak rasional dan
munasabah.
Koh Swe Yong
Setiausaha Agung,
Parti Rakyat Malaysia
(No. Tel: 012-2766551)
No comments:
Post a Comment