Tuesday, September 18, 2012

Adalah salah majikan dibenarkan potong elaun apabila bayar Gaji Minima...

Saya menerima kenyataan JERIT mengenai Gaji Minima - khususnya garis panduan yang baru dikeluarkan - mana boleh kita lihat garisa panduan ini? Apa komen saudara mengenai perkara ini?

JARINGAN RAKYAT TERTINDAS
WWW.JERIT.ORG

Kenyataan Akhbar:

19 September 2012

GAJI MINIMA RM900: JANJI TIDAK DITEPATI !

Dua hari yang lalu , Majlis Perundingan Gaji Negara telah mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Perlaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012. Garis Panduan yang dikeluarkan sekali lagi membuktikan bahawa Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan BN tidak mampu menepati janjinya dalam melaksanakan gaji minima di Malaysia.

Semasa perjumpaan JERIT dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada bulan Jun 2012 mengenai perlaksanaan Gaji Minima, JERIT telah dimaklumkan oleh KSM bahawa semua pekerja layak mendapat gaji minima dan tiada pekerja yang dikecualikan melainkan pekerja domestik (domestic maids).

JERIT dimaklumkan perkara ini apabila JERIT membangkitkan persoalan yang mengatakan bahawa Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sedang memberi tekanan untuk menyertakan sekali beberapa elaun yang diperolehi kini oleh pekerja dapat dalam pengiraan Gaji Minima RM900.
 
 Namun kini, Garis Panduan yang dikeluarkan mendedahkan 3 sektor telah dimanipulasi pengiraan kadar gaji minima:


1. Bagi sektor perhotelan di mana kutipan caj perkhidmatan dilaksanakan, majikan boleh mengubah kesemua atau sebahagian kutipan caj perkhidmatan itu yang diagihkan kepada pekerja sebagai sebahagian daripada gaji minimum.

2. Bagi sektor perladangan di mana Bayaran Saguhati Khas (Special Gratuitious Payment) sebanyak RM200 dilaksanakan, majikan boleh mengubah kesemua atau sebahagian daripada bayaran tersebut sebagai sebahagian daripada gaji minimum.

3. Bagi sektor pengawal keselamatan di mana insentif keselamatan dibayar kepada pekerja juga dibenarkan distruktur sebagai gaji minimum.

Sila lihat satu contoh perkiraan yang diberi dalam Garis Panduan ini:

Bagi pekerja di Semenanjung Malaysia yang bergaji pokok sebanyak RM625 dan dibayar elaun tunai sebanyak RM275, majikannya boleh mengubah bayaran elaun tunai itu untuk dijadikan sebahagian daripada gaji minimum.

Gaji Semasa

Gaji Selepas Perintah

M625 (gaji pokok)
RM275 (elaun)
Jumlah=RM900


RM625+(RM900-RM625) = RM900 (gaji minimum);
RM275 – (RM900-RM625) = RM0 (elaun)

Jumlah=RM900

Sumber: Garis Panduan Majlis Perundingan Gaji Negara Mengenai Perlaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012

Apabila melihat contoh di atas, maka dapat lihat jelas tiada impak dalam gaji seseorang pekerja setelah kerajaan melaksanakan Gaji Minima.

Gaji Minima dilaksanakan untuk menjamin pekerja dibayar kadar gaji yang berpatutan, membawa pekerja keluar dari kancah kemiskinan dan memastikan Negara Malaysia dapat membentuk masyarakat berpendapatan tinggi.

Jadi, apa salahnya gaji asas RM900 diberikan tanpa menjejaskan elaun-elaun yang diberikan. Bagi pekerja perhotelan, bayaran caj perkhidmatan adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan dibayar melalui cukai yang dikenakan terhadap pelanggan. Ianya tidak dikeluarkan oleh majikan secara langsung. Tambahan pula, tidak ada pihak yang boleh merampas mana-mana elaun atau insentif yang diberikan kepada pekerja (Seksyen 2 (Upah), Akta Kerja 1955). Selain itu, kajian juga menunjukkan RM900 juga adalah satu kadar yang rendah berbanding kos hidup masa ini. Mengapa ada sesetengah pihak masih mahu menekan dan memeras warga pekerja?

Justeru, JERIT amat kecewa dan membantah keras tindakan Kementerian Sumber Manusia yang mengeluarkan Garis Panduan yang mendiskriminasi golongan pekerja dari sektor perhotelan dan perladangan dan ini melanggar prinsip asas hak asasi manusia.

Maka, JERIT menuntut pelaksanaan gaji minima adalah berdasarkan gaji pokok tanpa pemotongan sebarang elaun dari pendapatan pekerja!

Oleh,
Sivaranjani Manickam
Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan, Jerit
010-2402159
 
 JARINGAN RAKYAT TERTINDAS(JERIT)

No comments:

Post a Comment