100 pekerja protes setelah diberhentikan kerja
by Ambrose Rirang. Posted on January 29, 2013, Tuesday
Adakan protes aman bantah tindakan majikan tamatkan perkhidmatan mereka tanpa alasan munasabah
BINTULU: Kira-kira 100 orang bekas pekerja di salah sebuah
syarikat kontraktor di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di sini, pagi
semalam mengadakan protes secara aman bagi membantah tindakan majikan
menamatkan perkhidmatan mereka tanpa alasan yang munasabah.
Menurut sumber, bekas pekerja terbabit merupakan
warga tempatan yang perkhidmatan mereka dihentikan tanpa notis oleh
syarikat kontraktor terbabit.
Mereka mengadakan protes di hadapan jalan masuk utama menuju ke tapak projek di SIP bermula seawal jam 5.30 pagi semalam.
Dalam pada itu, rata-rata bekas pekerja itu mendakwa bahawa
perkhidmatan mereka ditamatkan kerana digantikan dengan pekerja asing
yang diambil bekerja oleh syarikat kontraktor terbabit.
Pada masa sama, para pekerja turut melahirkan kesal terhadap bekas
majikan mereka yang tidak mengambil berat soal kebajikan pekerja
tempatan selain tidak diberikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan masalah gaji hari
yang diterima dipotong dari RM18 sehari hingga ke RM8 sehari (paling
rendah).
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Madang Usat bersama 20
anggotanya telah tiba di lokasi kejadian sekitar jam 8.30 pagi bagi
memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Ketika ditemui, Madang berkata pihaknya akan terus melakukan
pemantauan serta berkawal di lokasi kejadian bagi memastikan tiada
berlaku rusuhan dan sekatan sebagaimana yang berlaku sebelum ini bagi
memudahkan pergerakan pekerja sama ada yang ingin menuju ke SIP atau
dari SIP menuju ke bandar Bintulu.
“Apa yang pasti, kami akan memastikan keadaan di sini berada dalam
keadaan terkawal dan akan mengerahkan lebih ramai anggota memantau
keadaan sekiranya perlu berbuat demikian,” katanya.
Madang memberikan jaminan bahawa keadaan adalah terkawal dan tiada
kejadian tidak diingini berlaku memandangkan semua pekerja terbabit
melakukan protes secara aman.
Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung yang ditemui melahirkan
kekecewaan terhadap sikap majikan yang tidak berada di situ ketika para
pekerja menuntut hak serta ingin berbincang dengan mereka akan
permasalahan yang melanda.
“Sepatutnya pihak pengurusan syarikat kontraktor terbabit bersedia
membantu serta berbincang secara baik dengan para pekerja di bawah
kendalian mereka dalam setiap isu yang melanda bagi mengelakkan kejadian
sebegini daripada berlaku,” katanya. - Borneo Post, 29/1/2013
No comments:
Post a Comment