Wednesday, March 13, 2013

300 ahli Nube berpiket protes penindasan - Taiping

300 ahli Nube berpiket protes penindasan
Wartawan Sinar Harian
12 Mac 2013
300 ahli Nube berpiket protes penindasan
Sebahagian ahli Nube yang menyatakan bantahan semalam.
 
TAIPING – Kira-kira 300 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) berhimpun bagi menunjukkan bantahan dan protes kerana selama ini mereka sering ditindas pihak atasan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, terdapat banyak penindasan telah dilakukan termasuk jurang gaji antara pekerja atasan dan bawahan.

Menurutnya, Nube cuba mendapatkan keadilan untuk pekerja-pekerja yang berada di kelompok bawahan dan sehingga kini masih tidak ada sebarang perubahan.

“Pelbagai janji dibuat oleh pihak atasan dalam usaha membetulkan semula keadaan, namun sehingga hari ini masalah sama masih berlaku.

“Pihak atasan boleh dapat banyak kelebihan, namun pekerja bawahan sering ditindas demi kepentingan segelintir pihak,” katanya.

Tambahnya, bukan hanya tangga gaji yang turut dipersoalkan malah sebelum ini, terdapat pekerja yang dipecat tanpa prosedur ditetapkan.

Dalam pada itu, pihaknya juga tidak berpuas hati kerana rakyat asing boleh menjadi ketua sedangkan warga tempatan terus terhimpit dengan pendapatan yang rendah.

“Jika keadaan seumpama ini berterusan, apa akan jadi dengan rakyat kita.

“Ketika ini jurang yang wujud dalam bidang perbankan antara pekerja bawahan dan atasan begitu jauh,” katanya.

Solomon berkata, sepatutnya konsep wasathiyah iaitu kesederhanaan, aman, harmoni dan berpegang pada janji yang pernah dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu diamalkan.

Katanya, pihak atasan perlu mengkaji semula perkara tersebut demi kebajikan setiap pekerja.

Piket tersebut dilakukan selama sejam dan secara berperingkat dalam usaha jelajah seluruh negara.

Setakat ini, peringkat pertama pada 15 Disember lalu telah diadakan di Kuala Lumpur kemudian diikuti Pulau Pinang, Kedah Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Selangor.

Malah Piket Mega aakan dilaksanakan pada 6 April ini di Kuala Lumpur dan dijangkakan 10,000 ahli akan turut serta.

No comments:

Post a Comment