See earlier post, being a background to the statement which SUARAM has issued condemning the arrest of workers....
Kenyataan Media: 18hb Mac 2013
PEKERJA DITANGKAP POLIS MANAKALA MAJIKAN DIBERI PENANGGUHAN PELAKSANAAN GAJI MINIMA
SUARAM merujuk kepada berita bertajuk “Pelaksanaan Gaji Minimum: Lebih 100 Warga Nepal Terlibat Tunjuk Perasaan Ditahan” [Sumber: MStar Online(mstar.com.my)] yang diterbitkan pada 17hb Mac 2013 dan juga beberapa media lain.
Berita itu dengan bangganya menyatakan pihak polis
telah berjaya menggagalkan cubaan lebih 5,000 pekerja Nepal mengadakan
tunjuk perasaan di tengah bandar tengah hari Ahad setelah mereka
mendapat maklumat awal berhubungan perkara itu. Ketua Polis Daerah Muar
ACP Mohd Nasir Ramli turut memuji kecekapan pihak polis dalam menghalang
protes itu.
SUARAM menegaskan bahawa tiada apa yang patut
dibanggakan dengan tindakan polis malah sebenarnya ini menunjukkan pihak
polis gagal memahami isu sebenar protes tersebut malah pihak polis
telah mencabuli hak asasi pekerja-pekerja ini untuk bebas berhimpun
secara aman. Isu pokok ialah majikan gagal laksanakan gaji minima.
Golongan pekerja yang terdiri daripada warga Nepal ini, tiada pilihan
lain selain daripada menunjukkan ketidakpuasan mereka melalui
menganjurkan himpunan aman. Peliknya, semua ditahan sebelum protes
berlaku. Apakah kesalahan dan pertuduhan ke atas mereka?
Bukankah tindakan majikan yang tidak mematuhi akta yang
telah digubal satu kesalahan? Kenapa patut pekerja luar negara ini
ditahan? Kenapa pula majikan yang tidak mematuhi undang-undang tersebut
tidak dibawa ke muka pengadilan? Apakah Kementerian Sumber Manusia tiada
komen ke atas penangkapan pekerja-pekerja Nepal ini? Tidak memadai
hanya menyatakan bahawa pelaksanaan gaji minima ditangguhkan ke satu
tempoh lain kerana majikan tidak berupaya membayar gaji pekerja luar
negara.
SUARAM menggesa pihak polis untuk menghormati Perkara
10 dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kebebasan berhimpun, bercakap dan
berpersatuan. Setiap individu harus diberi kebebasan dan hak mereka
untuk berprotes secara aman bagi menyuarakan pendapat untuk kepentingan
bersama. SUARAM menggesa pihak polis supaya segera melepaskan
pekerja-pekerja luar negara yang ditangkap secara ‘random’ yang
kononnya tidak mempunyai dokumen sah semasa operasi polis Ahad lepas.
PDRM harus memahami isu periuk nasi kaum pekerja tidak
kira tempatan mahupun luar negara. Pekerja Nepal datang ke Malaysia
untuk tujuan sara hidup tetapi dieksploitasi oleh golongan majikan bagi
tujuan keuntungan kerana mereka umpama buruh murah untuk majikan.
Sekiranya polis tidak memahami fakta ini, maka negara hanya akan
mempunyai pihak berkuasa yang pandai ikut arahan atasan tanpa sebarang
sifat kemanusiaan dalam diri mereka.
SUARAM memahami tanggungjawab pihak polis dalam
melaksanakan sebarang arahan yang diberikan. Tetapi pengetahuan asas hak
asasi patut difahami dahulu sebelum melaksanakan tugas atas arahan
secara membuta tuli.
Diterbitkan oleh,
Thevarajan R
Police Accountability and Reform Desk
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
433A, Jalan 5/46, Gasing Indah,
46000, Petaling Jaya,
Selangor
Malaysia
Tel: +603 77843525
Fax: +603 77843526
Facebook: https://www.facebook.com/suararakyatmalaysia
Twitter: SUARAMtweets
No comments:
Post a Comment