Sunday, March 31, 2013

Gopal Krishnam SU Agung baru MTUC ganti Halim (Sinar Harian)

 
 
 
Gopal Krishnam SU Agung baru MTUC ganti Halim
G MANIMARAN
31 Mac 2013
mtuc logo
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
 
 
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memilih N Gopal Krishnam sebagai setiausaha agungnya yang baru bagi menggantikan Abdul Halim Mansor yang digugurkan awal bulan ini.

Dalam pemilihan hari ini, Gopal menerima 46 undi berbanding Halim, yang dicalonkan semula memperoleh 29 undi.

Majlis am MTUC dalam mesyuaratnya pada 3 Mac lalu memutuskan untuk menggugurkan Halim sebagai setiausaha agung badan induk kesatuan sekerja itu berkuat kuasa tarikh tersebut.

Keputusan itu diambil selaras dengan peruntukan Seksyen 10.5 Perlembagaan MTUC di mana setiausaha agung boleh ditamatkan perkhidmatan meskipun dipilih pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali atas alasan gagal menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan memuaskan.

Ini kali pertama seorang setiausaha agung ditamatkan tempoh perkhidmatan di bawah peruntukan tersebut.

Halim dipilih sebagai setiausaha agung buat penggal pertama akhir 2010.

Sinar Harian Online difahamkan majlis am yang bermesyuarat lebih lima jam hari ini membincangkan sama ada keputusan 3 Mac sah atau sebaliknya.

Keputusan itu diterima sebagai sah dengan 45 undi menyokong dan 31 menolak.

Selepas pengesahan itu, pemilihan diadakan untuk menentukan setiausaha agung yang baru.

"Dua orang dicalonkan untuk bertanding iaitu Gopal dan Halim. Gopal mengatasi Halim dengan memperoleh 46 undi," kata seorang pegawi kanan kepada Sinar Harian Online.

Presiden MTUC, Khalid Atan dan Halim dihubungi untuk mendapatkan reaksi tetapi gagal.

Gopal mengesahkan beliau telah dipilih bagi menggantikan Halim.

"Ya, saya dipilih. Saya akan keluarkan kenyataan kemudian, sebab saya akan terima jawatan itu secara rasmi esok," kata beliau yang juga Pengerusi MTUC Selangor dan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu.- Sinar Harian, 31/3/2013,
Gopal Krishnam SU Agung baru MTUC ganti Halim

No comments:

Post a Comment