Thursday, October 27, 2016

MP Jeyakumar Devaraj - Ucapan Bajet - Adakah wang sampai kepada rakyat miskin?

Pos Berkaitan:- 

MP Abdullah Sani - Ucapan Parlimen 25/10/2016 - Satu Penilaian?


Apakah jaminan wang Bajet akan sampai kepada masyarakat berpendapatan rendah?

(Berikut adalah teks ucapan Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen Sungai Siput merangkap AJK Pusat PSM, semasa membahaskan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2016.)

Pada amnya, adanya beberapa perkara dalam bajet ini yang saya sokong, terutamanya pendekatan bahawa kerajaan harus campurtangan dalam ekonomi negara untuk memastikan golongan miskin dan terpinggir tidak ketinggalan. Ini amat berbeza daripada puak neoliberal yang berhujah bahawa penglibatan kerajaan dalam ekonomi harus dikurangkan dan mekanisma pasaran bebas diberikan ruang untuk mengimbangkan ekonomi. 

Kebajikan rakyat berpendapatan 40% paling rendah atau yang dikenali sebagai B40 tidak boleh dibiarkan dalam tangan ekonomi pasaran bebas, kerana sistem pasaran masa kini sebenarnya tidak bebas. Ianya dikawal oleh oligopoli dan monopoli. Maka, dalam situasi realiti ini, ekonomi pasaran bebas akan terus meminggirkan rakyat B40 ini kerana ianya berpihak kepada golongan kaya.

Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa peruntukan untuk membantu golongan B40 di dalam dan di luar bandar dalam Bajet 2017, umpamanya:
- RM 1.2 bilion untuk menaiktaraf 616 km jalan kampung dan jambatan.
- RM 350 juta untuk membina dan membaik pulih 17 ribu rumah usang di luar bandar.
- RM 300 juta untuk membaik pulih kemudahan di rumah-rumah pangsa.
- RM 200 juta untuk membina 5000 rumah “My Beautiful New Home” dengan harga jualan RM 40,000 ke bawah..


Sekali pandang, tiada sesiapa pun yang akan membantah program-program yang disasarkan untuk membantu golongan-golongan B40 ini. Tetapi persoalannya adalah, apakah jaminan peruntukan-peruntukan ini akan sampai ke kumpulan masyarakat sasaran.

Umpamanya RM 1.2 bilion untuk naiktaraf jalan kampung dan jambatan kecil di luar bandar. Sudah pasti usaha menaiktaraf ini akan dilaksanakan melalui kontraktor pilihan jabatan kerajaan. Adakah kita yakin bahawa sebutharga kontraktor tersebut berpatutan?

Berapakah peratus keuntungan kontaktor tersebut daripada kos sebenarnya? Jika peratusan untung adalah 20%, ianya patut kerana kontraktor mesti dapat keuntungan munasabah. Tetapi siapakah pihak yang memantau proses ini? Saya diberitahu bahawa kadangkala keuntungan yang digaut adalah lebih daripada 100%.

Ertinya bilangan kampung yang dapat manafaat daripada bajet ini dikurangkan 50% kerana peruntukan bajet disapu habis oleh kontraktor yang tamak sebegini.

Siapakah pihak yang memantau sama ada kontraktor yang menang tender projek menaiktaraf jalan dan jambatan melaksanakan kerja itu sendiri ataupun memberikan subkontrak pada kontraktor lain. Saya difahamkan bahawa kadangkala subkontraktor juga memanjangkan kerja itu kepada seorang lagi subkontraktor!

Akhirnya, kontraktor yang melaksanakan projek itu, menghasilkan nilai kerja yang bermutu rendah kerana dana yang diberi kepadanya terlalu kecil dan tidak mencukupi. Sebahagian besar daripada jumlah peruntukan ini dimakan oleh kontraktor utama dan subkontraktor yang pertama.

Inilah kaedahnya rakyat miskin dibantu oleh kerajaan kita. Melalui kontraktor. Dan sering kali kontraktor kurang bertanggungjawab, dan ingin memperolehi keuntungan besar dan tidak memberi perkhidmatan berkualiti yang sepatutnya. Justeru, nilai kerja yang diperuntukkan dalam bajet itu tidak kelihatan dan tidak sampai sepenuhnya kepada akar umbi kerana ketirisan dalam sistem perolehan dan pelaksanaan projek pembangunan kita.

Sampaikan demokrasi ke peringkat kampung

Saya mencadangkan, kaedah yang lebih efektif untuk memastikan dana yang diperuntukkan untuk golongan B40 di kawasan luar bandar sampai ke sasaran, iaitu dengan memperkasakan jawatankuasa tempatan di sesebuah lokaliti luar bandar. Jawatankuasa ini mestilah diberikan maklumat yang mencukupi mengenai amaun dan skop kerja projek pembangunan yang disalurkan kepada kampung itu. Maka jawatankuasa itu dapat memainkan peranan “semak dan imbang.” Jawatankuasa tempatan harus diberi maklumat peruntukan seperti siapakah kontraktor, berapakah sebutbarga, apakah spesifikasi yang dinayatakan dalam kontrak kerja, supaya mereka dapat memantau peraksanaan projek itu. Jika jawatankuasa kuasa kampung dibekalkan dengan info ini, mereka boleh memastikan dana yang diperuntukkan untuk mereka membawa manfaat yang maksimum.

Tetapi untuk memainkan peranan semak dan imbang, jawatankuasa kampung mesti bersifat bebas, iaitu dipilih oleh rakyat tempatan dan bukan dilantik oleh pemimpin politik tempatan ataupun pegawai daerah. Sering kali kontraktor-kontraktor yang mendapat projek mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin politik tempatan dan pegawai daerah. Hanya apabila jawatankuasa tempatan itu bebas, ia boleh memainkan peranan semak dan imbang itu.

Pada tahun 2016, Kerajaan telah memperuntukkan RM 321 juta sebagai elaun JKKK. Ini harus diteruskan. Tetapi JKKK mestilah dipilih secara demokratik oleh orang kampung sendiri demi menjamin kebebasannya. 

Keluhan pesawah padi

Saya baru melawat ke kawasan sawah padi dekat Alor Setar. Beberapa orang pesawah padi di situ mengadu pada saya bahawa baja subsidi yang diterima mereka melalui Syarikat Persatuan Peladang tidak dapat digunakan kerana tidak efektif di sawah.

Ramai pesawah menyimpan sahaja baja subsidi yang diberi percuma ini dan membeli baja yang lebih baik. Peruntukan subsidi baja padi tahun lalu adalah RM 400 juta, dikurangkan ke RM 300 juta untuk tahun depan. (Butiran 130500 dalam bajet).

Maka, saya mencadangkan kaedah bantuan baja ini diubahsuaikan. Berilah baucar kepada semua pesawah mengikut saiz pendang sawah mereka supaya mereka boleh membeli baja yang diperlukan mereka daripada kedai-kedai yang dipilih mereka.

Kini, subsidi baja padi dibiarkan terus menjadi “durian runtuh” untuk syarikat swasta terpilih yang membekalkan baja subsidi itu. Ini merupakan pembaziran, RM 300 juta bukan satu amaun yang kecil! 

Masalah dihadapi pekebun kecil getah

Suatu lagi program yang perlaksanaannya harus dikaji semula adalah program tanaman semula getah, di mana pekebun getah kecil dibantu dalam menanam pokok getah baru. Penanaman semula ini dilaksanakan oleh kontraktor. Di kawasan saya, ada pekebun getah yang mengadu bahawa selepas 6 tahun menjaga pokok getah baru, hasil getah daripada pokok baru adalah begitu rendah kerana kontraktor telah memakai klon getah yang kualiti rendah demi mengurangkan kos menanam semula.

Ada banyak kes seperti ini. Bantuan untuk B40 di luar bandar di”outsource” kepada golongan kontraktor Bumiputra. Malangnya, prestasi kontraktor yang lemah dan tidak dipantau dengan ketat memburukkan ketirisan yang berlaku. Perkara-perkara seperti ini harus disiasat dan cara-cara yang berkesan untuk memastikan perlaksanaan yang telus dan berkesan perlu diperkenalkan.


B40 perlu dilindungi

Satu perkara yang tidak disebut dalam ucapan Perdana Menteri, adalah hakikat bahawa beberapa program membantu golongan B40 telah dikurangkan peruntukannya dalam Bajet 2017. Umpamanya, subsidi baja untuk padi diturunkan daripada RM 400 juta pada tahun 2016 ke RM 300 juta dalam Bajet 2017. Elaun JKKK juga dikurangkan daripada RM 327 juta pada tahun 2016 ke RM 187 juta pada 2017. Jika ketirisan dapat dikawal, mungkin peruntukan yang berkurangan masih dapat membantu rakyat. Tetapi jika kerajaan terlalu manja pada para kontraktor dan ketirisan berterusan, kebajikan B40 di luar bandar dengan tentu akan terjejas.

Saya terima bahawa kita perlu membina kapasiti usahawaan Bumiputra kecil dan sederhana. Kita tahu, sampai takat ini, penglibatan kaum Bumiputra dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana masih belum sampai ke takat yang memuaskan. Dan kita juga tahu bahawa ramai di golongan T20 (atasan 20%) adalah perniaga kecil dan sederhana. Jadi adalah wajar kerajaan ambil langkah proaktif untuk menggalak dan menyokong usahawan Bumiputra dan salah satu daripada kaedah yang dipakai oleh kerajaan adalah untuk “outsource” projek-projek membantu rakyat B40 di luar bandar.

Tetapi kita mesti sedar bahawa ini kadang kala merupakan “zero sum” game di mana jika usahawan Bumiputra diberi kelonggaran, maka masyarakat Bumiputra B40 pula dinafikan bantuan yang dinyatakan dalam belanjawan negara. Kita mesti kenakan syarat prestasi pada kontraktor dan mengamalkan satu sistem pemantauan yang berkesan supaya memastikan kaum B40 tidak diabaikan. 

Krisis ekonomi

Selain daripada masalah ketirisan dan masalah pertindihan antara kepentingan kontraktor Bumiputra dengan B40 yang tidak ditangani secara yang berkesan, adanya satu lagi kelemahan besar dalam Bajet 2017. Pembentuk Bajet 2017 nampaknya tiada kesedaran terhadap krisis ekonomi makro yang menyelubungi ekonomi global.

Ekonomi global sedang menghadapi masalah kelembapan kerana kemunduran dalam permintaan kasar purata (poor aggregate demand). Oleh kerana tiada permintaan, pengilang enggan meningkatkan produktiviti mereka kerana khuatir tentang permintaan yang lembap. Benarkan saya baca tiga keratan akhbar –
The world economy outlook has dimmed over the last 6 months, exacerbated by China’s slowdown, lower commodity prices Christine Lagard (IMF Director) said yesterday. (Starbiz 6/4/16).
Japan’s exports tumbled in July at the fastest pace since the global financial crisis. . . . . Japan’s exports have now fallen for 10 consecutive months . . . . . Exports in July fell due to lower shipment of cars to the US, ships to Central America and steel to Italy. Exports to China fell an annual 12.7% in July. (Starbiz 19/8/16)
Malaysia’s July exports declined more than expected on a slump in electrical and electronic exports . . (Starbiz 8/9/16)

Mengapakah permintaan kasar begitu lembab? GDP global sedang meningkat dari tahun ke tahun. Sekarang sudah sampai ke tahap USD 90 trillion. 

Masalah pokoknya adalah, pengagihan pendapatan dunia kepada B40 dan juga M40 telah mengecut dalam tempoh masa 30 tahun yang lalu. Negara-negara barat telah mengalami penghijrahan keluar sektor industri ke negara-negara di dunia ketiga yang bergaji rendah. Pada satu masa dulu, negara Britain merupakan negara terkenal dalam membina kapal. Sekarang tiada kapal dibina di Britain. Industri itu telah berindah ke Korea Selatan dan China. China sudah menjadi kilang dunia. Penghijrahan keluar industryibesar dari Eropah dan Amerika Syarikat telah menekan gaji purata B40 dan M40 di negara-negara itu ke bawah lagi.

Gaji di negara-negara Asia dan Afrika pun terus dipaksa kekal rendah kerana kita dipecahkan dan dikuasai oleh syarikat-syarikat antarabangsa gergasi (MNC). Jika sebuah MNC tidak dapat terma yang dia mahu di Malaysia, dia pindah ke Thailand. Jika Thailand meletak syarat yang tidak disenangi oleh MNC, dia akan ugut nak pindah ke Vietnam. Dengan cara itu, perangai MNC telah mengekalkan gaji pekerja di paras yang amat rendah.

Apabila gaji rendah, kuasa pembeli sememangnya menurun. Boleh buat dengan pinjaman, tetapi ke tahap mana, sekarang pun kadar hutang isi rumah di Malaysia telah mencapai 89% daripada GDP negara kita. 

Imperialisme abad ke-21

Pada masa yang sama, MNC telah mengambil kesempatan gaji rendah di negara sedang membangun untuk mencapai keuntungan yang lumayan. Saya ingin berkongsi contoh iPhone (Apple) yang dibuat di negara China:
Harga komponen telefon bimbit yang di import ke China USD 120
Harga iPhone keluaran kilang negara Cina USD 200
Harga jualan kepada pelanggan di Amerika Syarikat USD 500

Pembuatan iPhone di China dikontrakkan kepada usahawan China yang mengambil peranan menindas pekerja China dengan gaji rendah, kerja lebih masa yang panjang dan suasana kerja yang sesak dan membahayakan. Tetapi syer kekayaan yang diperolehi oleh masyarakat China hanya USD 80 sahaja untuk setiap iPhone yang dibuat dan syer pekerja kilang China hanya USD 6.50.

Pihak majikan China dapat USD 73.50. Tetapi MNC memperolehi USD 300 daripada pembuatan dan penjualan satu iPhone. Manakala China dapat USD 80, MNC memperolehi keuntungan USD 300, hanya untuk buat kerja sedikit sahaja iaitu mengangkut produk ke Amerika Syarikat dan mengedar kepada kedai-kedai untuk dijual.

Saya telah mengambil sedikit masa untuk menceritakan semua ini kerana saya mahu menjelaskan bagaimana imperialisme sedang berfungsi pada Abad ke-21. Bukan lagi datang ke negara dunia ketiga dengan kapal perang dan terus mengeksploitasi pekerja di sini. Sekarang eksploitasi seolah-olah telah di “outsource”.

Usahawan China dan usahawan Malaysia diberi peranan melakukan eksploitasi terhadap pekerja mereka. Oleh kerana MNC mengawal teknologi, ada nama jenama yang terkenal dan menguasai pasaran runcit di negara maju, dia dapat memperolehi sebahagian besar daripada kekayaan yang dijana oleh pekerja di negara-negara dunia ketiga. 

Bukan itu sahaja, syarikat MNC pun pandai mengelakkan diri daripada membayar cukai di negara asalnya. Jika kita ambil kes seperti iPhone tadi, keuntungan sebanyak USD 300 oleh MNC yang bertapak di Amerika Syarikat (A) disembunyikan oleh syarikat itu dengan mewujudkan satu syarikat (B) di negara di mana kadar cukai rendah, seperti Cayman ataupun Bahamas atau Virgin Islands. Barangan yang dibuat di China dibeli oleh syarikat (B) dengan harga USD 200 dan dijual balik ke syarikat (A) dengan harga USD 450. Ertinya, keuntungan sebanyak USD 250 disembunyikan. Cukai hanya dibayar oleh Syarikat (A) atas USD 50 sahaja. Untung sebanyak USD 250 tidak dicukai dan masuk ke dana MNC. 

Inilah sebabnya 1% yang terkaya di dunia semakin kaya. Izinkan saya membaca petikan daripada Laporan Oxfam:

The richest 1% of the world’s population now own more than the rest of us combined, aid group OXFAM announced. . . Runaway inequality has created a world where 62 of the richest own as much wealth as 50% of the world population – a figure that has fallen from 388 just 5 years ago. . . . . . One of the key trends behind rising inequality is the falling share of national income going to workers in all developed and developing countries.

Kerajaan kita sering berkata Malaysia tersangkut dalam “Middle Income Trap”. Dan inilah sebabnya – ekonomi dunia dikuasai oleh segelintir syarikat antarabangsa gergasi (MNC).

Sistem ekonomi yang diwujudkan di bawah pengaruh syarikat MNC dan pemikiran neoliberal telah menggubalkan satu situasi di mana kekayaan yang dijana di Asia dan Afrika diperolehi oleh syarikat-syarikat gergasi yang menguasai sistem perdagangan antarabangsa.

Inilah sebab utama “Middle Income Trap” – eksploitasi imperialisme. Bukan produktiviti pekerja kita yang rendah.

Malangnya kerajaan kita tidak nampak hakikat ini.

Jika kita sedar akan punca masalah yang benar, maka kita sanggup mengaturkan strategi untuk mengatasinya. Tetapi nampaknya kerajaan kita masih kabur terhadap sebab-sebab “Middle Income Trap”. 

Jadi bagaimana boleh mengatasinya? Itulah sebabnya kerajaan kita beria-ia menandatangani Perjanjian Ekonomi seperti TPPA dan RCEP yang hanya akan memperkasakan lagi kuasa dan pengaruh MNC dalam ekonomi dunia.

Tiada jaminan rakyat akan disejahterakan

Walaupun atas kertas, Badget 2017 ini menyenaraikan peruntukan-peruntukan untuk menangani masalah beberapa golongan miskin , tetapi ia:
- Langsung tiada strategi untuk mengawal ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek kebajikan dan bantuan untuk B40;
- Tiada garis panduan untuk mengenalpasti dan menangani pertindihan antara hasrat kerajaan memperkasakan golongan PKS Bumiputra dan kepentingan rakyat pendapatan rendah B40;
- Dan tiada kesedaran terhadap struktur dan corak ekonomi antarabangsa yang sedang menindas rakyat dunia ketiga.

Bajet ini tidak akan melindungi B40 dan M40 kita daripada tekanan ekonomi pada tahun yang akan datang. 

Maka saya tidak dapat menyokong Bajet ini!

2 comments:

  1. Pelanggan yang dihargai Adakah anda seorang ahli perniagaan atau wanita? Adakah anda dalam sebarang tekanan kewangan atau adakah anda memerlukan dana untuk memulakan perniagaan anda sendiri? Adakah anda mempunyai skor kredit yang rendah dan anda sedang mencari pinjaman daripada bank tempatan dan institusi kewangan lain? Bagaimanapun, kaedah Kami menawarkan anda peluang untuk menyatakan jumlah pinjaman yang anda mampu untuk menyelesaikan pembayaran balik pinjaman dengan kadar faedah 2%. Ini memberi anda peluang sebenar untuk mendapatkan dana yang anda perlukan. Pemohon yang berminat boleh menghubungi kami melalui e-mel (maryjaneFIRM@GMAIL.COM)

    ReplyDelete
  2. Adakah anda Perlu pinjaman? atau memerlukan pinjaman untuk membayar dept atau bil anda bimbang lagi, bacaan katharine Pinjaman menawarkan pinjaman kepada individu syarikat dan pertubuhan swasta yang memerlukan pinjaman untuk memulakan perniagaan baru membayar hutang peribadi atau membiayai perniagaan yang sedia ada. hubungi kami hari ini jika berminat untuk maklumat lebih lanjut melalui e-mel: katharinebacallinvestment1@gmail.com atau whatssap +17018021179
    Kami bersedia untuk melayani anda dengan lebih baik

    nama: ....
    Amaun pinjaman diperlukan: .......
    nyatakan: ....
    negara: ...
    nombor telefon:.....

    Encik katharine bacall
    NOTA: semua mel perlu dihantar dan dihantar ke e-mel ini: katharinebacallinvestment1@gmail.com

    ReplyDelete