Tuesday, February 28, 2012

Akta Kerja: MTUC gesa PM campur tangan

 
 
Akta Kerja: MTUC gesa PM campur tangan
ZULAIKHA ZULKIFLI
28 Februari 2012
SUBANG JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan menyelesaikan isu-isu berkaitan kesatuan sekerja dan pindaan Akta Kerja yang diluluskan Parlimen tahun lalu.

Presidennya, Khalid Atan berkata, pihaknya turut mendesak kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu pertikaian Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) dan Maybank.

"Menteri mempunyai hak untuk membatalkan kesatuan dalaman yang ada dalam Maybank merujuk kepada Seksyen 71(a). Tetapi kenapa sehingga kini beliau tidak buat apa-apa?

"Jadi kami meminta agar Perdana Menteri campur tangan dan memanggil pihak-pihak tertentu seberapa pantas yang boleh... jadikan isu ini isu negara," kata beliau pada sidang media di Wisma MTUC di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat GLC, Mohamed Shafie BP Mammal.

Sebelum ini, MTUC membuat ketetapan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam ekoran isu berkaitan kesatuan sekerja dan pindaan Akta Kerja.

Semalam, MTUC menyerahkan surat kepada Najib bagi mendapatkan kerjasama beliau dan campur tangan menyelesaikan perkara-perkara berbangkit dengan segera agar ia tidak memburukkan kepentingan rakyat khususnya pekerja negara ini.

Justeru, Khalid juga berkata, beliau berharap agar Najib dapat memanggil semua kesatuan termasuk MTUC, Nube dan Maybank bagi mendengar segala permasalahan kesatuan itu.

Selain itu, Shafie mewakili kesatuan GLC berkata, Perdana Menteri tidak boleh menanggap 'tidak tahu' terhadap isu yang dibangkitkan.

Jelasnya, sudah sampai masanya pihak kerajaan untuk campur tangan dalam isu kesatuan yang melibatkan lebih sejuta ahli kesatuan.

"Kalau kerajaan tak nak campur tangan, jangan lupa MTUC ada lebih sejuta ahli, Kesatuan GLC ada 400,000 ahli. Jadi, jangan tidakkan suara ini," katanya - Sinar Harian - http://www.sinarharian.com.my/nasional/akta-kerja-mtuc-gesa-pm-campur-tangan-1.27761

MTUC desak Najib campurtangan, umum hilang keyakinan terhadap Subramaniam

February 28, 2012

SUBANG JAYA, 28 Feb — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campurtangan berhubung isu berhubung kesatuan sekerja dan pindaan Akta Kerja 1955 berikutan  menteri yang bertanggungjawab dilihat gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam menyelesaikan perkara itu.

Kesatuan itu turut mengumumkan mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam kerana menteri itu dilihat tidak serius terhadap permasalahan yang melibatkan nasib pekerja-pekerja di negara ini.

Presiden MTUC Khalid Atan (gambar) ketika sidang media di Ibu Pejabat kesatuan itu di sini berkata, Subramaniam seolah-olah menganggap masalah yang dialami pekerja hanya perkara remeh dan tidak serius dalam mencari penyelesaian terhadap konflik yang timbul terhadap nasib pekerja.

“MTUC mengumumkan kami hilang keyakinan terhadap kepimpinan menteri yang tidak serius menangani masalah pekerja.

“Oleh itu MTUC telah bersepakat untuk menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menganjurkan perhimpunan sebagai bantahan terhadap menteri,” katanya.
Menurut Khalid, sekiranya nasib pekerja di negara ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya, lama kelamaan kesatuan sekerja akan pupus.

“Kita sudah buat protes dan sebagainya, tetapi kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan rungutan kesatuan. Malah, kami telah berulangkali menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

MTUC sebelum ini telah membuat bantahan terhadap pindaan Akta Kerja 1955 yang melibatkan “Contractor for Labour”, iaitu sistem yang akan memutuskan hubungan antara majikan dan pekerja dan menggunakan khidmat orang tengah yang mana pekerja akan hilang jaminan pekerjaan dan sistem ini menjurus kepada eksploitasi pekerja.

“MTUC mahu perdana menteri mendengar rintihan kesatuan, jangan kaum pekerja dipinggirkan begitu sahaja, seolah-olah mereka tidak wujud, kalau pihak lain boleh didengar, boleh dilayan, kenapa perkara ini dilakukan kepada MTUC?” soalnya.

Tambah Khalid, Subramaniam juga gagal mengambil tindakan sewajarnya di atas perlakuan Maybank yang dilihat bercanggah dengan undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan dengan menaja penubuhan kesatuan dalaman yang bercanggah dengan Artikel 6 perjanjian bersama yang terikat antara Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) dan Maybank.

Sementara itu, Khalid turut mendesak Najib mewujudkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku dalam Maybank.

“Menteri gagal bertindak selaras dengan kuasa beliau mengikut kehendak Seksyen 71 Akta Kesatuan Sekerja 1959 untuk membatalkan pendaftaran kesatuan dalaman yang ditaja Maybank yang bercanggah dengan perjanjian bersama tersebut.

“Malah beliau turut mendaftarkan kesatuan dalaman di Maybank, sedangkan Nube telah diiktiraf sebagai kesatuan yang mewakili pekerja bukan eksekutif sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai tanda protes, MTUC hari ini turut mengeluarkan wang simpanan mereka di Maybank yang berjumlah RM3.5 juta dan menutup akaun kesatuan itu serta merta.

“Kami sudah menyimpan di Maybank sejak 15 tahun lalu. Sebagai tanda protes, kami akan menutup akaun berkenaan hari ini dengan serta merta,” katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalaman Syarikat GLC, Mohamed Shafie Bp Mammal, yang sekali lagi memberi ingatan kepada kerajaan bahawa gabungan kesatuan sekerja di negara ini mempunyai lebih dari sejuta ahli dan kerajaan tidak boleh menidakkan suara mereka dalam perkara ini.

“Perdana menteri jangan bertindak seperti menteri sumber manusia, langsung tidak mengendahkan suara pekerja. Kami mempunyai gabungan ahli lebih dari satu juta seluruh negara,” tegasnya. - Malaysian Insider, 28/2/2012