Sunday, February 26, 2012

Isu Pekerja dan Kesatuan Pekerja kurang diberi perhatian oleh Pakatan Rakyat

Melihat Buku Jingga Pakatan Rakyat, saya merasakan bahawa isu pekerja dan kesatuan pekerja tidak cukup diambil kira.

Isu yang disentuh hanya:-

a) Isu gaji minima - di mana di sini pun tidak dinyatakan gaji minima yang akan ditetapkan. Adakah gaji minima ini RM700-00? Perlu dengan jelas tahap gaji minima yang akan ditetapkan sekali gus apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pentadbiran. 

b) Hak Pekerja Untuk Berkesatuan - sudahpun ada. Adakah seksyen yang mengakhiri keahlian kesatuan apabila dibuang kerja secara salah akan dimansuhkan?

c) Akta Peluang Saksama - tetapi bukankah Perlembagaan kita sudah mempunyai prinsip ini untuk semua pekerja kecuali pekerjaan sektor awam. 

d) Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.- tak ada butiran mengenai KWSP - tetapi sistem pencen untuk setiap pekerja memang perlu. (Kerajaan BN pun sudah mulai membincangkan isu ini)

e) Usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun

 f) Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan - ini amat perlu, selari dengan cadangan MTUC untuk satu National Retrenchment Fund.Kini kerajaan BN hanya menubuhkan dana untuk latihan semula pekerja di mana dana ini diberikan kepada pihak majikan sahaja - bukan pekerja.

Tetapi banyak isu pokok dan isu semasa berkaitan pekerja langsung tidak disentuh

a) Adakah pindaan Akta Kerja 1955 yang baru diluluskan di Parlimen, yang di tentang pekerja, MTUC dan union lain akan dimansuhkan?

b) Adakah pekerjaan tetap sampai umur bersara akan dikembalikan dan diutamakan, dan sistem kontrak pekerjaan jangka pendek akan dihapuskan atau dihadkan kepada tidak melebihi 5-10% tenaga kerja di sesuatu tempat kerja?

c) Adakah perhubungan kerja (employment relationship) terus di antara majikan (tuan punya/operator tempat kerja) dan pekerja akan dipastikan? Adakah sistem mengunakan pekerja(employee) pihak ketiga di tempat kerja, yang kini melemahkan union dan pekerja, diharamkan? Adakah 'kontraktor untuk kerja'(contractor for labour) akan diharamkan? Adakah tindakan BN mahu menjadikan 'contractor for labour' majikan pekerja, bukan lagi tuan punya/operator tempat kerja dihalang?

Saya tidak puas hati dengan janji-janji mengenai isu pekerja dan kesatuan yang terkandung dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, yang merupakan janji-janji mereka apabila mereka berjaya dalam pilihan raya akan datang. Apa pendapat saudara pekerja dan kawan dari union...

Pakatan Rakyat mesti faham bahawa majoriti pengundi adalah pekerja dan keluarga pekerja, atau ibu-bapa bakal pekerja...dan olehkerana itu isu-isu berkaitan hak dan kebajikan pekerja mesti diutamakan... 

34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.

"Membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh 5 tahun Pakatan Rakyat berkuasa. Ini boleh dilaksanakan melalui beberapa dasar bersepadu yang bertujuan mengangkat pendapatan rakyat dan menambah peluang pekerjaan agar setiap isi rumah mempunyai lebih dari seorang yang berpendapatan. Dasar-dasar ini termasuklah pelaksanaan gaji minima, undang-undang majikan yang memberi ruang kepada kaum wanita melaksanakan tugasan dari rumah, skim latihan untuk menukar dan menaiktaraf tenaga kerja dan bantuan keusahawanan yang tidak mengamalkan diskriminasi..."

"...Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.

"...Tenaga Kerja


 Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.


 Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.

 Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.


 Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.


 Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.


 Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

 Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.


Jaringan Perlindungan Sosial

 Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.

 Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.

 Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat. - di petik daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat dari laman web PR.


No comments:

Post a Comment