Kilang ubah waktu rehat
PUTRAJAYA 12 Julai - Sebuah syarikat
semikonduktor berstatus multinasional yang beroperasi di Telok Panglima
Garang di Banting, Selangor didakwa menindas pekerja beragama Islam
dengan mengubah jadual waktu rehat sepanjang Ramadan tanpa perbincangan.
Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat
Semenanjung, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah mendakwa, syarikat itu
bertindak meminda jadual pekerja syif malam dengan mempercepat waktu
rehat pertama dan melewatkan waktu rehat kedua.
Berikutan itu, dakwanya, pekerja syarikat semikonduktor nombor satu
di Asia dan ketiga dunia itu terpaksa bekerja dalam tempoh lapan jam
tanpa henti sebelum menunggu waktu rehat kedua.
Tambah beliau, arahan itu dikeluarkan menerusi surat pekeliling
bertarikh 2 Julai lalu yang meminta pekerja syif pukul 7 petang
mengambil rehat pertama pukul 7.15 petang berbanding 10 malam sebelum
ini dan rehat kedua pukul 4 pagi bersekali sahur.
"Tetapi masalahnya mereka terpaksa bekerja selama 12 jam dan menerusi
jadual baharu itu juga semua pekerja terpaksa bekerja selama lapan jam
tanpa henti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Wan Noorulazhar, tindakan itu jelas melanggar Akta Kerja 1955
di bawah Seksyen 60A (1) yang tidak membenarkan pekerja bekerja lebih
lima jam berturut-turut tanpa rehat kurang daripada 30 minit.
Katanya, penindasan itu turut bertentangan dengan Akta Keselamatan
dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mensyaratkan majikan perlu
memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya semasa
bekerja.
Tambah beliau, jika pekerja tidak mendapat rehat yang cukup dan
dipaksa bekerja di bawah tekanan tinggi pelbagai kemungkinan buruk boleh
berlaku di tempat kerja.
Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
yang didakwa gagal menangani masalah tersebut meskipun aduan rasmi dan
bukti telah diserahkan.
"Kami ada berhubung dengan JTK tetapi mereka minta pekerja berbincang
dengan majikan, masalahnya pekerja terbabit tidak mempunyai kesatuan
dan majikan boleh berbuat sesuka hati termasuk memecat mereka kerana
tidak berpuas hati," katanya.
Dalam masa sama, beliau merayu Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat campur tangan dalam isu itu kerana majoriti
pekerja di syarikat terbabit ialah wanita dan mereka perlu berdiri
sepanjang tempoh 12 jam bekerja. - Utusan Online, 12/7/2013, Kilang ubah waktu rehat
No comments:
Post a Comment