Pada 12/4/2016 telah dilapurkan di media massa bahawa MTUC telah menyerahkan Memo kepada Perdana Menteri - tetapi malangnya memo berkenaan tidak dapat diketemui di mana-mana termasuk laman web rasmi MTUC. Justeru, sukar sekali untuk pekerja dan Kesatuan Sekerja, yang MTUC dilihat mewakili mengetahui apa sebenarnya yang dituntut oleh MTUC bagi pihak semua pekerja dan Union di Malaysia.
MTUC sends 'secret' MEMO to Prime Ministers? What MTUC asking unclear..?
Media, apabila membuat lapuran berita akan akan hanya memetik apa yang mereka mahu lapurkan, dan malangnya kita tidak akan tahu apa yang terkandung dalam Memo MTUC berkenaan. Misalnya, apa yang dilapurkan adalah bahawa MTUC mahu definasi jelas seksyen 9 Akta Perhubungan Perusahaan - apakah yang dimaksudkan MTUC? Apakah kekurangan yang MTUC mengharapkan akan diperbetulkan?
What does Malaysian Trade Union Congress(MTUC) want? What 'clearer definition' of provision in law?
Kini, MTUC sudah pun memuatnaik apa yang diberi tajuk 'Memorandum MTUC 2016 dalam Laman Web MTUC, dan berikut adalah apa yang dinyatakan...ada ketidakpastian sama ada ini adalah Memo yang telah dihantarserahkan kepada Perdana Menteri...
Bila Memo ini dilihat, apa yang nyata adalah banyak pekara adalah kurang jelas dalam Memo tersebut. Mungkin penulis Memo sedar isu dengan jelas, tetapi adakah pembaca Memo akan faham? Dakwaan dibuat tetapi tidak disokong oleh contoh yang jelas - "Sejak kebelakangan ini, aktiviti anti kesatuan semakin meningkat dan membimbangkan. Syarikat-syarikat besar di Malaysia, seperti Kumpulan Hicom DRB mempunyai dasar polisi Perhubungan Perusahaan yang jelas bercanggah dengan Kod Amalan Harmoni Perhubungan Perusahaan 1975. DRB Hicom telah menyingkirkan 13 pekerja tanpa sebarang justifikasi..." - Apakah polisi DRB yang bercanggah ini...semua sekali atau hanya beberapa perkara khusus? 13 Pekerja disingkirkan ...siapa mereka ini dan kenapa MTUC kata ini salah...yang saya ingat adalah isu G18 - 18 pekerja bukan 13>>>
18 DRB Hicom dismissed workers and family picket at Prime Minister's Office in Putrajaya
DRB Hicom, hormatilah hak rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi
Memo harus merujuk kepada contoh dengan jelas, kerana pembaca diharapkan bertindak berasaskan Memo. Memo yang kurang jelas, PM mungkin tak faham dan bagaimanakah kerajaan bertindak?
Cuba baca Memo MTUC ini, dan buat penilaisan sendiri sama ada Memo ini cukup jelas atau tidak?
Anih juga, isu 'contractor for labour', yang merupakan isu penting MTUC sampai diadakan piket di beberapa tempat langsung tidak pun ditimbulkan dalam Memo ini...
Yang jelas adalah tuntutan GAJI MINIMA sama(RM1,200) untuk semua pekerja - sama ada pekerja swasta atau penjawat awam, sama ada pekerja di Semenanjung Malaysia atau di Sabah/Sarawak..
Yang jelas adalah tuntutan MTUC untuk peruntukkan undang-undang memerlukan majikan swasta juga membayar COLA kepada pekerja mereka ia itu RM300
Komen tambahan mengenai MEMO ini mengenai tuntutan lain akan menyusul...
MEMORANDUM MTUC 2016
CABARAN BAGI PEKERJA DAN KESATUAN SEKERJA
1) PERHUBUNGAN PERUSAHAAN
Pada tahun 1961 Malaysia telah mengesahkan Konvensyen ILO 98 iaitu
Hak untuk mengurus dan Rundingan Kolektif. Sejurus dengan itu kerajaan
mengubal dan mengisytiharkan Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Dalam
laporan berkala kepada ILO, Kerajaan telah menegaskan bahawa Akta
Perhubungan Perusahaan ini mematuhi pelbagai keperluan di
bawah Konvensyen 98.
a) Ribuan Pekerja Dinafikan Hak Perjanjian Bersama
Walaupun peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan kelihatan sebagai
progresif namun perlaksanaan dan kelemahan dalam penguatkuasaan telah
menafikan hak-hak rundingan terhadap Perjanjian Bersama kepada
beribu-ribu ahli kesatuan.
b) Keperluan Bagi Mendapatkan Pengiktirafan
Keperluan untuk mendapatkan PENGIKTIRAFAN daripada majikan adalah
pra-syarat sebelum memulakan RUNDINGAN KOLEKTIF; malangnya pelbagai
PERATURAN diadakan yang menyebabkan kelewatan yang berpanjangan melebihi
satu hingga tiga tahun. Prosedur-prosedur ini tidak boleh diterima dan
tidak bersesuaian dengan kehendak akta dan undang-undang. Di samping
itu, sementara menanti pemberian pengiktirafan, kesatuan dan
ahli-ahlinya terpaksa melalui pelbagai kesulitan seperti:
• dinafikan Hak Rundingan terhadap Perjanjian Bersama;
• dilarang daripada melakukan sebarang bantahan;
• dimangsakan dan diugut dengan taktik membuli seperti di pindah kerja, diturunkan pangkat dan sering dipecat.
• dilarang daripada melakukan sebarang bantahan;
• dimangsakan dan diugut dengan taktik membuli seperti di pindah kerja, diturunkan pangkat dan sering dipecat.
Walaupun peruntukan-peruntukan tertentu dalam Akta melarang perbuatan
yang dinyatakan di atas, majikan yang tidak bertanggungjawab masih
terus melanggar Akta dengan sewenang-wenangnya malah pihak
Kementerian Sumber Manusia (KSM) kurang memberi keutamaan terhadap isu
ini.
Bagi memastikan penyelesaian kes dengan segera, MTUC dengan
ini mencadangkan supaya Akta Perhubungan Perusahaan ini dipinda
bagi membolehkan had masa 90 hari dikenakan untuk menyelesaikan semua
tuntutan pengiktirafan.
c) Kuasa Mahkamah Perusahaan Terhad
Sebagai ganti rugi, berhubung dengan kelewatan dalam penyelesaian
tuntutan pengiktirafan, keputusan Menteri yang lambat dari tarikh
tuntutan pengiktirafan dibuat telah menyebabkan konsesi ini tidak
bermakna mengikut kehendak di bawah Seksyen 30 (7). Akta IR yang secara
tidak langsung menghadkan kuasa Mahkamah Perusahaan untuk membolehkan
tarikh lewat Perjanjian Kolektif tersebut dikuatkuasakan atau dihadkan
kepada enam bulan.
MTUC menuntut supaya Seksyen 30 (7) Akta IR patut dipinda bagi
membolehkan Mahkamah Perusahaan menentukan tarikh kuat kuasa Perjanjian
Bersama berdasarkan fakta, keadaan dan ekuiti.
d) Aktiviti Anti Kesatuan Berlaku Secara Meluas
Sejak kebelakangan ini, aktiviti anti kesatuan semakin meningkat dan
membimbangkan. Syarikat-syarikat besar di Malaysia, seperti Kumpulan
Hicom DRB mempunyai dasar polisi Perhubungan Perusahaan yang jelas
bercanggah dengan Kod Amalan Harmoni Perhubungan Perusahaan 1975. DRB
Hicom telah menyingkirkan 13 pekerja tanpa sebarang justifikasi.
Dasar dan undang-undang kerajaan yang lemah dan berbelah bagi telah
melemahkan pergerakan kesatuan sekerja dan memberi ruangan kepada
majikan penyalahgunaan peruntukan Seksyen 9 Akta Perhubungan Perusahaan
untuk menafikan hak pekerja untuk menjadi ahli kesatuan
terutamanya pekerja-pekerja dalam kapasiti pengklasifikasian Pengurusan dan Eksekutif.
Dalam kes British American Tobacco (BAT) Bhd, lebih daripada 70% dari
pekerja yang sebelum ini merupakan ahli Kesatuan Pekerja BAT yang
merupakan sebuah kesatuan dalaman telah dinafikan hak untuk mewakili
kesatuan dan hak untuk Rundingan Perjanjian Kolektif. Ini dilakukan
hanya dengan menukar tajuk jawatan/kerja mereka dari operator
pengeluaran kepada pakar pemprosesan walaupun tugasan utama dan
tanggungjawab mereka tetap tidak berubah.
Semenjak enam tahun yang lalu, perbuatan tidak adil dan tidak senonoh
pengurusan BAT ini telah menjadi satu amalan yang meluas bagi menafikan
hak terhadap Rundingan Perjanjian Kolektif kepada majoriti
pekerja-pekerja BAT. Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak mengambil
sebarang tindakan untuk menentukan peruntukan Seksyen 9 Akta
Perhubungan Perusahaan dipatuhi dan dilaksanakan secara adil.
MTUC menuntut supaya Peruntukan Seksyen 9 Akta Perhubungan
Perusahaan, harus memberikan definisi yang jelas mengenai tafsiran
pengurusan, eksekutif dan kapasiti sulit bagi membolehkan mereka
menyertai kesatuan dan menghapuskan penyalahtafsiran yang meluas.
e) Hak Berpiket
Hak Pekerja untuk berpiket termaktub di bawah Seksyen 40, Akta IR dan
pihak berkuasa polis harus menghormati hak-hak ini. Malah apa yang
menyedihkan baru-baru ini, semasa ahli kesatuan British American Tobacco
berpiket polis telah menganggu piket ini dengan menangkap serta menahan
anggota kesatuan dan mendakwa mereka di mahkamah.
MTUC menggesa YAB Perdana Menteri mengambil langkah-langkah
untuk memastikan bahawa pihak berkuasa menghormati hak-hak yang
diberikan kepada pekerja-pekerja seperti yang termaktub dalam
undang-undang.
2) MAHKAMAH PERUSAHAAN
Walaupun bilangan Mahkamah Perusahaan telah bertambah namum
pekerja-pekerja masih menghadapi kelewatan yang ketara untuk mendapatkan
keputusan yang adil. Mahkamah seolah-olah tidak mengambil kira kehendak
di bawah seksyen 30 (5) Akta IR 1967 di mana ia dengan jelas menyatakan
bahawa Mahkamah hendaklah bertindak mengikut ekuiti, nilai murni, adil
dan merit kes itu tanpa mengambil kira proses teknikal.
Dalam Award Mahkamah Perusahaan baru-baru ini, mahkamah telah
memberikan keputusan yang bercanggah dan menidakkan keputusan Mahkamah
Superior-MAHKAMAH RAYUAN. Mahkamah Perusahaan mengenakan layanan yang
berbeza-beza terhadap pekerja asing.
Lima tahun yang lalu, Menteri Sumber Manusia pada masa itu Datuk Seri
Fong Chan Onn memberi jaminan kepada MTUC bahawa sekurang-kurangnya 50%
daripada Pengerusi Mahkamah Perusahaan seharusnya terdiri dari pegawai
kontrak. Pegawai-pegawai dari Jabatan Peguam Negara adalah tertakluk
kepada pemindahan kerap yang menyebabkan memberi kesan terhadap jadual
perbicaraan kes dan memberi impak serius kepada kepakaran mereka.
MTUC mencadangkan YAB Perdana Menteri mengambil langkah-langkah segera untuk menangani isu ini.
3) MAHKAMAH PERUSAHAAN APPELLETE
Pada mulanya apabila Kerajaan menubuhkan Mahkamah Perusahaan di bawah
mekanisme penyelesaian pertikaian, ia adalah bertujuan untuk menjadi
pengadil terakhir bagi menjatuhkan keputusan muktamad dan konklusif dan
menamatkan semua pertikaian.
Malangnya, kini peranan Mahkamah telah berubah ke arah yang bertentangan: mengheret pertikaian Mahkamah Perusahaan sehingga ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Malangnya, kini peranan Mahkamah telah berubah ke arah yang bertentangan: mengheret pertikaian Mahkamah Perusahaan sehingga ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Ini bukan sahaja makan masa yang lama malah ia melibatkan beban kos kewangan yang sangat besar kepada kesatuan sekerja.
Oleh yang demikian, MTUC mengulangi cadangan awal MTUC untuk
menubuhkan INDUSTRIAL APPELLETE COURT sebagai mahkamah muktamad untuk
membuat keputusan mengenai pertikaian Perhubungan Perusahaan termasuk
kes pemecatan di bawah Seksyen 20 Akta IR.
4) AKTA MAS – Belum Pernah Wujud
MTUC amat terkejut dengan pengenalan enakmen dan pengisytiharan Akta
MAS. Tindakan Kerajaan menyokong anggara tidak baik pihak pengurusan MAS
yang memperkenalkan suatu akta yang belum pernah wujud ini telah
menjurus kepada kesatuan sekerja dan pekerja-pekerja menanggung
kelewatan yang berterusan. Di samping itu pengenalan syarat-syarat baru
dalam Akta MAS adalah bertentangan dengan undang-undang yang sedia ada
iaitu Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Akta MAS yang baru diperkenalkan ini telah menyebabkan beberapa kes
tidak dapat diselesaikan dengan segera dan terpaksa tertangguh di
Mahkamah Perusahaan.
MTUC dengan ini merayu kepada YAB Perdana Menteri untuk
memastikan bahawa semua kes yang berkaitan dengan kakitangan MAS
dikendalikan dibawah Akta Perhubungan Perusahaan.
A) GAJI MINIMUM DI MALAYSIA
Gaji Minimum Kebangsaan bagi Malaysia telah diumumkan oleh Perdana
Menteri dalam Ucapan Belanjawan pada 15hb Oktober 2010 bertujuan untuk
memastikan pendapatan pekerja-pekerja dapat memenuhi keperluan asas
mereka dan dalam masa yang sama industri-industri pula dapat bergerak
maju mengikut arus pembangunan. Gaji minimum adalah gaji pokok, tidak
termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.
Walaupun MTUC mengalu-alukan pengumuman Gaji Minimum oleh Perdana
Menteri (Ucapan Bajet pada 23 Oktober 2015) untuk pekerja-pekerja dalam
sektor awam pada kadar RM1,200.00 tetapi MTUC amat kecewa kerana ia
tidak melibatkan pekerja-pekerja dalam sektor swasta. Sekurang-kurangnya
kerajaan boleh mengumumkan gaji minimum yang sama RM1,200.00 untuk
semua pekerja tidak kira sektor awam mahupun pekerja swasta atau pekerja
di Sabah, Sarawak dan Labuan. Mengapa diskriminasi di antara
sektor awam dan pekerja sektor swasta diwujudkan? Kos sara hidup telah
meningkat dengan ketara di seluruh negara dan apatah lagi kesan GST
memberi kesan kepada kedua-dua pekerja dalam sektor swasta dan awam.
Gaji minimum telah diumumkan oleh Kerajaan sebanyak RM 1000.00 untuk
pekerja dalam sektor swasta di Semenanjung manakala RM920.00 untuk
pekerja dalam sektor swasta di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Pada pandangan
MTUC gaji minimum yang diumumkan bagi sektor swasta tidak realistik dan
tidak mencerminkan keadaan sosio ekonomi semasa yang dihadapi oleh
kakitangan dalam sektor swasta sedangkan kos sara hidup di Sabah dan
Sarawak adalah lebih tinggi berbanding dengan Semenanjung.
MTUC kecewa dengan tarikh penguat kuasaan Gaji Minimum baru iaitu 1hb
Julai 2016. Ia tidak selaras dengan seksyen 25 dan Majlis Perundingan
Gaji Negara juga telah menetapkan bahawa semakan gaji minimum perlu
dilakukan setiap dua tahun sekali.
Kajian semula gaji minimum sepatutnya dilakukan secara menyeluruh
dengan mengambil kira faktor-faktor yang telah dibina dalam formula yang
digunakan untuk pengiraan.
Kajian pertama telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa teknikal yang
dilantik oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC) dan kemudian telah
dibincangkan oleh ahli-ahli NWCC, yang terdiri daripada wakil-wakil
dari kerajaan, pekerja, majikan dan pakar teknikal.
NWCC telah mengemukakan cadangannya selepas kajian dilakukan.
Manakala Kabinet pula mempunyai kata putus untuk menolak
cadangan-cadangan tersebut. Pengalaman dari negaranegara lain
menjelaskan bahawa kerajaan hanya boleh menolak cadangan-cadangan
tersebut jika ia mempunyai alasan yang sangat kukuh untuk berbuat
demikian dan sekiranya wujud keadaan yang luar biasa untuk menolak
cadangan-cadangan tersebut.
Gaji Minimum yang dilaksanakan ini telah ketinggalan dari pertumbuhan
produktiviti. Sedangkan Dasar Gaji Minimum adalah penting bagi pekerja
supaya dapat membantu untuk memastikan bahawa peningkatan gaji adalah
selaras dengan kos sara hidup, sekali gus membolehkan mereka untuk
menikmati keperluan asas.
Bagi majikan, dasar Gaji Minima ini perlu bagi menggalakkan mereka
melabur dalam teknologi tinggi dengan menggerakkan rantaian nilai dan
dalam jangka masa panjang boleh mengurangkan kebergantungan kepada
pekerja asing.
Dasar gaji minimum juga harus memberi manfaat kepada ekonomi dalam
jangka masa panjang dengan peningkatan dalam kuasa beli kaum pekerja.
Kerajaan tidak harus takut dengan gertak majikan yang mendakwa bahawa
mereka tidak mampu membayar gaji minimum. Mereka mendakwa bahawa jika
Malaysia melaksanakan gaji minimum, 600,000 majikan akan muflis. Kini
adalah masa supaya majikan-majikan membangunkan model perniagaan mereka
bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Kami berpendapat diskriminasi dalam gaji minimum melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Dua isu penting perlu dipertimbangkan:
a) Apkah formula yang digunakan untuk mengkaji semula Gaji Minimum
2015 bagi pekerja dalam sektor awam dan pekerja sektor swasta dan
pekerja di Sabah, Sarawak dan Labuan.
b) Mengapakah Gaji Minimum untuk pekerja sektor awam yang
diperkenalkan di Semenanjung adalah berbeza bagi sektor-sektor lain
berbeza?
a) MTUC Menyeru Kerajaan Menyemak Semula Gaji Minimum 2015/2016
MTUC menyeru Kerajaan untuk mengkaji semula Gaji Minimum atas landasan berikut:
i. Gaji Minimum 2015/2016 – RM1, 200.00 harus meliputi semua tempat
di Malaysia. Oleh kerana prinsip rantau tidak digunapakai dalam
penetapan Gaji Mimimum untuk pekerja dalam sektor awam maka prinsip yang
sama harus digunakan untuk menetapkan gaji minimum untuk
pekerja-pekerja dalam sektor swasta. MTUC yakin bahawa kerajaan akan
mohon Gagasan 1Malaysia dalam isu Gaji Minimum.
B) PEKERJA ASING
Masalah pekerja asing sering kali ditimbulkan oleh MTUC. Namun
sehingga hari ini tiada tindakan yang komprehensif dan praktikal diambil
oleh kerajaan. Lambakan pekerja asing semestinya dikawal bagi
membendung gejala sosial yang tidak sihat.
Beberapa tahun yang lalu pihak Kementerian telah memanggil MTUC bagi
tujuan memperbincangkan bagaimana cara untuk mengurangkan perlambakkan
pekerja asing.
MTUC sering menyuarakan supaya pihak kerajaan tidak bergantung kepada
pekerja asing. Malah MTUC telah mengemukakan beberapa cadangan,
terutama berkaitan dengan pengambilan pekerja asing yang melalui sistem
orang tengah, agen-agen pekerja asing supaya dihentikan.
MTUC memohon supaya pengambilan pekerja asing harus diuruskan secara terus Kerajaan dengan Kerajaan (G to G)
Malangnya tiada perbincangan susulan dan tindakan selanjutnya diambil
oleh kerajaan yang menjurus kepada pengurangan pekerja asing. Salah
satu agenda dibawah rangka Rancangan Malaysia Ke-11 adalah mengurangkan
pekerja asing ke paras 15%. Malahan berdasarkan kepada perkembangan
semasa yang berlaku, MTUC kurang yakin bahawa hasrat tersebut
boleh dicapai. Sehingga ke hari ini lebih kurang 7 juta pekerja asing
berada di negara ini dan hanya 2.1 juta sahaja yang memiliki dokumen.
Tindakan kerajaan menandatangani MOU bersama kerajaan Bangladesh
untuk membawa masuk seramai 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh bagi
sektor-sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan jelas
menunjukkan bahawa hasrat yang diwarwarkan oleh kerajaan untuk
mengurangkan pekerja asing adalah gimik politik sahaja.
Dengan kemasukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh ini ia akan
menjadikan 50% dari keseluruhan tenaga kerja di negara ini adalah
terdiri dari pekerja asing. Sudah tentu jika ini berlaku ianya sedikit
sebanyak akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada
pekerja-pekerja tempatan. Langkah kerajaan untuk mewujudkan peluang
pekerjaan harus memastikan bahawa peluang ini diberi keutamaan kepada
pekerja tempatan bukan kepada pekerja asing.
Banyak pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mengambil
kesempatan untuk mengaut keuntungan demi kepentingan mereka. Pada
pandangan MTUC Sistem Pembekalan Pekerja Asing ini
telah menjurus kepada pemerdagangan lesen. Di samping itu ia telah
mewujudkan jutawan-jutawan atas pembiayaan wang pekerja. Khususnya
ejen-ejen dan pegawai-pegawai yang menguruskan pengambilan pekerja
asing. Justeru itu kawalan dan pemantauan kemasukan pekerja asing wajar
dipergiatkan. Sesiapa yang melanggar undang-undang harus dikenakan
hukuman berat.
MTUC mohon supaya Penguatkuasaan Akta, Anti Perdagangan
Manusia mesti dikuatkuasakan dengan lebih tegas dan efektif. Keutamaan
harus diberi kepada pekerja-pekerja tempatan rakyat negara ini.
Kerajaan harus mengambil langkah yang proaktif bagi meratifikasi
“Convention ILO 143 dan 183″.
Sekiranya langkah dan tindakan-tindakan
yang positif tidak diambil bagi menangani masalah pekerja asing ini MTUC
percaya hasrat kerajaan untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah
negara berpendapatan tinggi tidak akan tercapai.
Pada 2008 sebanyak 277 lesen telah dikeluarkan kepada individu atau
agensi pengambilan pekerja asing sehingga kini lebih kurang 130 agensi
ini masih aktif. MTUC bukan bersifat anti pekerja asing tetapi kerajaan
wajib memastikan bahawa pengambilan pekerja asing ini dikawal setakat
yang diperlukan sahaja.
MTUC berasa janggal dengan 3% statistik “unemployment”. Adakah angka
3% tersebut satu angka yang realistik? Berabad-abad lamanya masih
kerajaan menggunakan angka yang sama sedangkan setiap tahun beribu-ribu
anak muda samada graduan atau selainnya yang masuk ke pasaran pekerjaan.
Adakah mereka ini telah sepenuhnya berjaya mendapatkan
pekerjaan. Malangnya tiada statistik yang memperincikan permasalahan
ini.
VSS, retrenchment mengapa rakyat tempatan diutamakan, menjadi mangsa
pemberhentian digantikan dengan pekerja asing. Walau “code of conduct”
on retrenchment telah menetapkan garis panduan bahawa sekiranya
satu-satu pemberhentian terpaksa dijalankan, pertama pekerja asing harus
diberhentikan, kemudian pekerja kontrak. Malangnya ramai majikan
tidak mengendahkannya. Mereka memberhentikan pekerja tempatan dan
digantikan dengan pekerja asing. Banyak pemberhentian seperti ini tidak
dilapurkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
Mengapa rakyat tempatan dijadikan mangsa oleh majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab ini?
MTUC dengan ini menggesa kerajaan supaya mengambil
tindakan-tindakan bagi menyelesaikan masalah perlambakan pekerja asing
di negara ini.
MTUC percaya kerajaan ada kekuatan dan mekanisme bagi menangani
permasalahan lambakan pekerja asing dengan tidak tunduk atas sebarang
desakan dari majikan-majikan yang membuat permohonan mendapatkan pekerja
asing dengan pelbagai helah. Majikan-majikan ini harus dipantau dan
siasatan perlu dilakukan atas kesahihan permohonan mereka.
Kerajaan harus memantau layanan-layanan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab. Tindakan dari ejen-ejen dan majikan-majikan yang tidak
berperikemanusiaan sehingga negara dicemuh di arena Antarabangsa.
MTUC merasakan sekiranya kerajaan serius untuk mencapai
negara berstatus pendapatan tinggi, maka mereka harus menghadkan pekerja
asing di tempat kerja secara beransur-ansur bagi mengurangkan
kebergantungan terhadap mereka dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada
pekerja-pekerja tempatan.
MTUC mengalu-alukan dasar dan amalan baru pengambilan pekerja
asing terus dari kerajaan dengan kerajaan (G to G) dan dasar ini perlu
dikuatkuasakan untuk semua pengambilan pekerja asing dan semua sektor.
Bayaran LEVI- Kadar bayaran levi yang tinggi harus dikenakan
kepada semua pengambilan baru dan selanjutnya supaya majikan akan sedar
sepenuhnya serta mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang implikasi
kos dan boleh membuat keputusan yang sewajarnya.
Kementerian harus menjalankan kajian serta analisa yang mendalam
terhadap pemecatan, pengganguran dan keperluan pasaran tenaga kerja bagi
membolehkan kerajaan menghadkan pengambilan pekerja asing secara
beransur-ansur.
Di samping itu MTUC juga mohon Penubuhan Suruhanjaya DiRaja
Penyiasatan Pekerja Asing dan buat masa ini menangguhkan rancangan untuk
membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini.
D) GST dan COLA
Kerajaan tidak mengendahkan dan sentimen rakyat terutamanya golongan
pekerja yang berpendapatan rendah malah telah memperkenalkan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% pada 1hb April 2015. Ini
merupakan satu lagi contoh hakisan terhadap tahap pendapatan sebenar
pekerja di Malaysia.
Apakah justifikasinya kerajaan memberi BRIM selepas membebankan
rakyat dengan pelbagai cukai GST malah harga barangan dan perkhidmatan
naik berkali ganda. Kajian yang dilakukan oleh FOMCA menunjukkan bahawa
harga barangan telah naik sebanyak 20% sejak GST diperkenalkan.
Pekerja di Malaysia berhadapan dengan tekanan bagi memenuhi keperluan
harian mereka dan ahli keluarga mereka. Ini adalah tidak wajar, kerana
pekerja-pekerja di negara ini telah memberi sumbangan besar ke arah
pembangunan ekonomi negara.
MTUC telah meminta kerajaan untuk mewajibkan pemberian Elaun Sara
Hidup (COLA) sebanyak RM300.00 kepada semua pekerja di Malaysia. Ini
adalah hak yang harus dilaksanakan dengan segera oleh setiap majikan.
Majikan dan pelabur sentiasa dengan bangganya melaporkan keuntungan
syarikat mereka setiap tahun maka mereka juga harus sanggup berkongsi
keuntungan tersebut dengan pekerja-pekerja mereka.
COLA bukanlah merupakan satu bantuan yang diminta oleh pekerja dari
majikan dan kerajaan malah ia merupakan satu hak keadilan terhadap
pekerja daripada pembangunan negara ini bagi menghadapi kemelut krisis
ekonomi dengan kejatuhan nilai ringgit secara mendadak. Di samping itu
dalam pembentangan bajet tahun lepas cukai korporat telah dikurangkan
sebanyak satu peratus namun ia tidak memberi apa-apa faedah kepada pihak
pekerja, ini jelas menunjukkan bahawa keuntungan hanya dinikmati oleh
satu pihak sahaja.
Mengikut undang-undang, GST dikenakan ke atas setiap urusniaga
kecuali urusniaga itu diberi pengecualian dari skop GST. Semua
perkhidmatan atau barangan yang tidak diumumkan sebagai “dikecualikan”
akan dikenakan GST. Cukai yang dibayar oleh sesebuah firma dalam proses
pembuatan dan pengagihan boleh dituntut balik tetapi pengguna akhir (pekerja dan golongan isi rumah) tidak dapat meminta balik cukai yang
dibayar malah skop GST adalah lebih besar kerana melibatkan banyak
urusniaga. Akibatnya pengilang terpaksa menaikkan harga untuk menampung
kenaikan kos akibat GST ini walaupun ianya melibatkan pengeluaran barangan asas.
Di bawah cukai GST, 90% dari barangan dan perkhidmatan harian
dikenakan cukai, Jadi, beban rakyat seharian menjadi semakin tinggi
kerana semakin banyak barangan dan perkhidmatan yang perlu dibayar
cukai.
Di samping itu, dengan perlaksanaan GST, 89% dari keluarga di
Malaysia yang sebelum ini dikira tidak perlu membayar cukai kerana
berpendapatan rendah, kini perlu membayar cukai GST secara tidak
langsung.
Malah, mereka juga tidak menikmati faedah dari penurunan
cukai pendapatan kerana pendapatan mereka rendah. Sebahagian besar
rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan ini dan terpaksa menanggung
cukai baru tetapi tidak pula mendapat faedah dari penurunan cukai sedia
ada.
MTUC merasakan perlaksanaan GST memberi kesan yang signifikan
terhadap kaum pekerja yang menerima pendapatan kurang dari RM3000
sebulan, Kini perlaksanaan GST telah memudaratkan lagi keadaan malah
telah menjurus kepada tekanan yang besar dengan kejatuhan nilai ringgit
yang paling teruk dalam pasaran antarabangsa.
Kadar inflasi meningkat, GST telah meningkatkan
kadar inflasi yang sememangnya tinggi. Penguatkuasaan Cukai GST telah
membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang
meningkatkan perbelanjaan harian rakyat Malaysia. Walaupun
banyak barangan makanan dikecualikan daripada cukai pada masa dibeli
oleh pengguna namun harga makanan telah naik kerana bahan-bahan yang
digunakan untuk mengeluarkan makanan turut naik harga akibat dari GST.
Cukai GST bukan sahaja mengurangkan kuasa beli rakyat malah kos bagi
menampung keperluan harian iaitu makanan, pengangkutan, penginapan,
pakaian, perubatan dan lain-lain turut mengalami peningkatan. Kenaikan
harga barangan dan perkhidmatan ini ditanggung oleh semua lapisan
masyarakat tanpa mengira kaya ataupun miskin.
Penganalisaan dan penyelidikan yang dilakukan oleh pihak IKRAM jelas
membuktikan dan mengesahkan kenyataan ini bahawa Pelaksanaan cukai SST
atau GST sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah kewangan kerajaan
serta masalah kenaikan harga barangan. Ini kerana punca kepada masalah
ekonomi negara adalah kombinasi banyak faktor termasuk sistem Riba yang
diamalkan di negara kita serta perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal
akibat amalan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan dan amalan korupsi
yang berleluasa. Hal ini jelas apa yang menimpa ekonomi negara dengan
kejatuhan nilai ringgit jelas menunjukkan bahawa GST hanya memudaratkan
lagi persekitaran ekonomi negara.
Oleh yang dengan kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha
mengawal perbelanjaannya dengan menghapuskan amalan pembaziran dan
amalan korupsi. Di samping itu kerajaan dan rakyat juga mesti mengorak
langkah untuk membersihkan segala bentuk amalan riba dalam sistem
ekonomi dan kewangan negara demi kesejahteraan masyarakat bagi
jangka panjang.
Pihak MTUC merasa amat kecewa kerana tidak dijemput untuk
sebarang rundingan dan perbincangkan dalam perlaksanaan GST. Walaupun
MTUC mohon supaya perlaksanaan GST ditangguhkan dan rundingan dengan
pihak-pihak yang terlibat dilanjutkan bagi menangani permasalahan yang
membebankan rakyat namun ia tidak diendahkan langsung. Kini selepas
perlaksanaan kita dapat melihat kenaikkan harga barangan secara mendadak
dan nilai mata wang ringgit jatuh menjunam. MTUC mohon jasa baik YAB
untuk menarik balik GST supaya rakyat dan golongan berpendapatan rendah
dapat hidup aman dan damai.
Sekian terima kasih.
RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
Bagi Pihak MTUC
N. Gopal Kishnam (Setiausaha Agung) YB Abdullah Sani bin Abdul Hamid (Pemangku Presiden)
No comments:
Post a Comment