Kenapa Malaysia Airlines main tarik tali?
Oleh Ainul Asniera Ahsan di Kuala Lumpur - 29 Mar 2016 (6 days ago)
Malaysia
Airlines Berhad (MAB) didakwa sengaja tarik tali berhubung surat
tuntutan pengiktirafan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin
Malaysia (Nufam) sebagai wakil kesatuan bagi mewakili anak-anak kapal
syarikat penerbangan itu.
Nufam mendakwa pihaknya sudah mengemukakan dua kali Borang 9A kepada
MAS tetapi syarikat itu memberitahu surat pertama tidak ditemui dan
surat kedua pula salah alamat.
Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata, surat ketiga sudah
diserahkan dengan menggunakan alamat pejabat MAB di Sepang tetapi
sehingga hari ini tidak ada jawapan daripada MAB.
"Kenapa MAB tidak mahu mengiktiraf Nufam sedangkan Nufam adalah
kesatuan yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia. Kenapa
mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk menyerahkan semula borang itu
sedangkan proses itu tidak rumit," katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Ismail, Nufam perlu mendapatkan pengiktirafan MAB kerana ia
adalah entiti baru, jadi segala proses perlu dilakukan semula.
Dakwa beliau, Majlis Jawatankuasa Pekerja yang ditubuhkan oleh MAB
sengaja mengaburi kakitangan kerana majlis itu tidak mempunyai polisi
yang boleh menentukan hak dan suara sebagai sebuah kesatuan pekerja.
"Majlis ini tidak berfungsi seandainya berlaku sesuatu kepada
anak-anak kapal? Kalau ada pembuangan pekerja lagi selepas ini, apa jadi
dengan nasib mereka? Majlis ini tidak ada locus standi," tambahnya.
Sikap acuh tak acuh MAB ini seolah-olah mahu mengelak
keperluan-keperluan yang ditentukan oleh undang-undang dan perhubungan
industri yang memberi kuasa kepada kesatuan pekerja untuk bersuara.
"Ketika negara mahu melaksanakan Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik, kerajaan menguar-uarkan antara lain tentang kelebihannya
hak dan suara pekerja.
"Soalnya kenapa pula MAB seolah-olah menongkah arus?," ujarnya. - MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment