Thursday, June 5, 2014

Kenyataan Presiden CUEPACS membelakangkan demokrasi (pendapat dari Blog PRM)

Kenyataan Presiden CUEPACS membelakangkan demokrasi

Kami merujuk kepada kenyataan presiden Kongress Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Azih Muda yang mengatakan kakitangan-kakitangan awam yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan GST adalah pengkhianat negara dan sememangnya patut disingkirkan daripada perkhidmatan awam.

Kami ingin memberikan peringatan kepada presiden CUEPACS itu bahawa kenyataan beliau itu sememangnya tidak bertanggungjawab, menafikan hak-hak para kakitangan awam sebagai rakyat Malaysia dan membelakangkan amalan demokrasi.

Tindakan dan kenyataan Azih itu menggambarkan seolah-olahnya CUEPACS itu adalah seperti sebuah kongsi gelap di mana ahli-ahlinya perlu melafazkan sumpah taat setia membabi buta kepada pemimpin mereka tanpa mempersoalkan apa-apa bentuk dasar dan arahan yang diperturunkan.

Presiden dan para pemimpin CUEPACS perlu diingatkan bahawa kakitangan-kakitangan awam negara ini juga mempunyai hak asasi kemanusiaan mereka, begitu juga dengan presiden dan para pemimpin gabungan kesatuan tersebut. Melakukan sesuatu yang cuba menghadkan hak asasi ahli-ahli kesatuan adalah jelas tidak berpelembagaan dan melampaui batas kemanusiaan.

Ahli-ahli kesatuan adalah juga rakyat Malaysia dan sebagai warganegara Malaysia, mereka punyai hak yang sama seperti kita untuk meluahkan rasa tidak puashati mereka terhadap mana-mana dasar kerajaan ataupun kegiatan-kegiatan yang difikirkan tidak bersesuaian dengan kehidupan mereka. Selain daripada itu, ahli-ahli CUEPACS ini juga berhak menentukan siapakah yang akan memimpin kesatuan yang mereka anggotai setelah penggal kepimpinan kesatuan sekarang tamat.

Satu lagi persoalan yang ingin kami kemukakan kepada Azih Muda. Siapakah Azih sebenarnya mewakili? Adakah beliau mewakili kira-kira sejuta kakitangan awam seleruh negara ataupun kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikuasai Umno ini? Jika sekiranya presiden CUEPACS itu ingin mewakili kerajaan BN, kami menasihatkan beliau agar meletakkan jawatannya sebagai pemimpin kesatuan sekerja tersebut.-
  3 May 2014. Posting dari Blog Parti Rakyat Malaysia

No comments:

Post a Comment