Monday, August 25, 2014

Sijil Cuti Sakit - lapuran BERNAMA memberi gambaran negatif terhadap pekerja?

Rencana ini  memberi gambaran buruk kepada pekerja di Malaysia - kononnya pekerja semua penipu - tak sakit pun ambil cuti sakit. Lihat cara rencana ini ditulis oleh Bernama - ...nama baik pekerja terjejas? Ini pendapat peribadi...sila baca sendiri dan sampai kepada persepsi sendiri...
Jika pekerja pergi ke klinik dan doktor memberikan sijil cuti sakit - orang yang harus dipertanggungjawab sekiranya sijil cuti sakit diberikan secara salah adalah doktor. [Majikan sekiranya mengesyaki sijil sakit palsu - panggil sahaja klinik atau doktor untuk pengesahan.]
Masalah pekerja tidak dihebohkan - ramai yang sakit juga tidak diberi sijil cuti sakit kerana doktor panel syarikat majikan takut kontrak jadi doktor panel akan ditamatkan sekiranya mereka jujur dan berikan sijil cuti sakit...banyak majikan, kalau boleh tidak gemar sangat jika doktor beri 'sijil cuti sakit'. Ada satu kes yang saya ingat, seorang 'fracture' tangan tetapi bila pergi doktor panel, tak dapat 'sijil cuti sakit' dan rawatan sepatutnya - pekerja disuruh kembali kerja. Tetapi pekerja ini yang mengalami kesakitan, seterus pergi ke hospital kerajaan di mana disahkan dia ada fracture - sijil cuti sakit diberikan bukan sahaja untuk hari itu tetapi untuk tempuh yang diperlukan.

Ada majikan pula yang mendiskriminasi pekerja yang ambil sijil cuti sakit - maka pekerja yang sakit juga pergi kerja kerana tidak mahu masa depan pekerjaannya terjejas atau menerima  penilaian prestasi buruk??

Kalau rasa sakit, hak pekerja adalah untuk pergi jumpa doktor mendapat pemeriksaan dan rawatan perlu. Ada masanya pekerja boleh kembali kerja dan tak memerlukan apa-apa 'sijil cuti sakit', tetapi bila pekerja kembali adakah beliau dapat gaji penuh hari tersebut atau cuti sakit separuh hari (masa dia pergi jumpa doktor) - biasanya tidak.... Kenapa? Mereka yang rasa sakit berhak diberi 'cuti berbayar' untuk pergi jumpa doktor...
Saya berharap MTUC membalas apa yang dikeluarkan dalam rencana ini - memperbaiki imej kaum pekerja...
 
Ramai juga pekerja, walaupun merasa sakit, akan pergi kerja kerana dedikasi... 
Berapa ramai doktor dan klinik yang telah diambil tindakan mengeluarkan 'sijil cuti sakit' dengan salah, atau gagal mengeluarkan 'sijil cuti sakit' bila pekerja benar-benar berhak mendapat sijil tersebut?
Berapa banyak 'cuti tahunan berbayar' atau 'cuti tahunan tak berbayar' yang pekerja terpaksa mengambil apabila sebenarnya dia harus diberi 'cuti sakit berbayar'?
"Semakan dengan klinik perubatan untuk memastikan pekerja benar-benar sakit juga salah satu kaedah biasa digunakan jabatan sumber manusia untuk mengesahkan ketulenan sijil cuti sakit itu," - Adakah semakan juga dibuat terhadap doktor panel yang secara salah menafikan pekerja berhak sijil cuti sakit?
Saya percaya SEBAB UTAMA pekerja kemukakan sijil cuti sakit adalah kerana benar-benar sakit, di mana ini juga disahkan doktor. Saya meragui hasil kajian JobStreet.com
Jika apa yang dikatakan kajian JobStreet.com itu benar, doktor di Malaysia kurang cekap sehingga dapat senang ditipu orang...ini sukar dipercayai. 
 
Tiga sebab utama pekerja kemuka cuti sakit
KUALA LUMPUR -  Satu kajian oleh JobStreet.com mendapati tiga sebab yang diberikan pekerja untuk mengemukakan sijil cuti sakit ialah tiada keinginan untuk bekerja, kepenatan dan berpura-pura sakit untuk menghadiri temuduga pekerjaan.
  
JobStreet.com dalam satu kenyataan hari ini berkata alasan berkenaan menunjukkan pekerja tidak mempunyai motivasi di tempat kerja dan tidak jujur, hanya untuk mengelak daripada datang bekerja.
   
"Dua puluh enam peratus daripada pekerja dalam kajian mengaku mereka berpura-pura sakit untuk mendapatkan sijil cuti sakit dalam enam bulan lepas.  

Ada yang telah mengemukakan lima sijil sakit dalam enam bulan lepas," kata kenyataan itu.
  
Kenyataan itu berkata sejumlah 1,058 majikan dan 749 pekerja daripada pelbagai industri di Malaysia terlibat dalam kajian JobStreet.com, dalam Jun tahun ini.
  
Seorang daripada empat responden dalam kajian itu berkata mereka akan membeli sijil sakit palsu, jika diberi peluang, katanya.
  
"Tambahan pula mereka (pekerja) menunjukkan mereka bersedia untuk membayar sehingga RM25 untuk satu sijil cuti sakit palsu," katanya.
  
Kenyataan itu berkata lebih daripada 57 peratus majikan dalam kajian di Malaysia itu mendakwa mempunyai pekerja yang mereka rasakan berpura-pura sakit untuk mendapatkan sijil cuti sakit.
  
Apabila majikan ditanya tindakan yang diambil jika pekerja mereka mendapatkan sijil cuti sakit palsu, majikan berkata mereka menggunakan surat amaran, amaran lisan dan penilaian prestasi buruk sebagai sebahagian tindakan diambil untuk mengekang masalah ini dalam syarikat mereka.

"Semakan dengan klinik perubatan untuk memastikan pekerja benar-benar sakit juga salah satu kaedah biasa digunakan jabatan sumber manusia untuk mengesahkan ketulenan sijil cuti sakit itu," kata kenyataan itu.
  
Minggu lepas, media melaporkan polis telah melumpuhkan satu sindiket menjual sijil cuti sakit palsu dengan penangkapan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Shah Alam. - Bernama - Sinar Harian, 20/8/2014,
Tiga sebab utama pekerja kemuka cuti sakit

No comments:

Post a Comment