Friday, September 26, 2014

10,000 Majikan Swasta Gagal Laksana Skim Gaji Minimum(Bernama)

10,000 Majikan Swasta Gagal Laksana Skim Gaji Minimum

20 September 2014 
 
MARAN, 20 Sept (Bernama) — Kira-kira 10,000 majikan swasta masih gagal melaksanakan Skim Gaji Minimum yang dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata kerajaan memandang serius tentang perkara itu walaupun bilangannya hanya lima peratus daripada 200,000 majikan berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia.

“Pekerja berhak membuat aduan kepada JTK dan kementerian jika majikan masih gagal melaksanakan dasar tersebut.

“Mengikut rekod kementerian sehingga kini, tiga majikan dihadapkan ke mahkamah kerana gagal berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Kerjaya Azam Kerja dan Kemahiran peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di sini, Sabtu.

Sementara itu Ismail berkata sehingga Jun lepas kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan iaitu hanya 2.8 peratus berbanding 3.1 peratus pada tahun lalu.

Katanya kadar itu antara yang rendah berbanding negara maju lain.

Anggota Parlimen Maran itu berkata antara faktor dikenal pasti berlakunya pengangguran adalah disebabkan mereka yang terlibat mencari pekerjaan yang lebih baik berdasarkan kelayakan dan kemahiran yang ada.

Beliau memberitahu, pencari kerja aktif berdaftar sehingga 1 Sept lalu berjumlah 403,897 orang dengan 231,169 daripadanya merupakan siswazah untuk mengisi 115,672 peluang pekerjaan.

Ismail berkata, mulai tahun hadapan Program Karnival Azam Kerja akan menjelajah ke setiap kawasan parlimen seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat mendapatkan pekerjaan. — BERNAMA

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment