Friday, September 19, 2014

Kenakan Penalti Lebih Tinggi Kepada Majikan Abaikan Keselamatan Pekerja - MTUC

Kenakan Penalti Lebih Tinggi Kepada Majikan Abaikan Keselamatan Pekerja - MTUC

17 September 2014 
 
SHAH ALAM, 17 Sept (Bernama) — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan supaya mengenakan penalti yang lebih tinggi ke atas majikan yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian pekerja di tempat kerja, kata Timbalan Setiausaha Agungnya, A. Balasubramaniam.

Beliau berkata banyak kemalangan berkaitan tempat kerja di Malaysia menarik perhatian umum dengan kejadian terbaru, kemalangan ngeri di tapak projek Transit Aliran Massa (MRT) di Kota Damansara, Selangor yang meragut tiga nyawa.

“MTUC berpendapat tindakan tegas perlu diambil ke atas majikan yang bertanggungjawab kepada kematian pekerja dan penalti maksimum perlu dikenakan sebagaimana yang terdapat dalam undang-undang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebagai contoh sebuah syarikat pembinaan didenda sebanyak S$150,000 (RM380,000) di Singapura kerana telah mengingkari peraturan keselamatan sehingga menyebabkan seorang pekerjanya mati.
Denda itu dipercayai satu jumlah tertinggi yang dikenakan ke atas seorang majikan di bawah Seksyen 12 Akta Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja di republik itu.

Sehubungan itu, Balasubramaniam berkata seorang majikan perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan kesemua pekerjanya di tempat kerja sebagaimana termaktub di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Seorang majikan yang melanggar peruntukan undang-undang itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Balasubramaniam menggesa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kemalangan di tempat kerja. – BERNAMA

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment