Pengecualiaan Gaji Minimum Kepada Majikan Mikro Nafi Hak Pekerja - Riot
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Pengecualian gaji minimum
kepada majikan-majikan mikro adalah suatu penafian hak kesamarataan
kepada golongan pekerja yang majoritinya rakyat Malaysia, kata Menteri
Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem.
Beliau berkata golongan yang bekerja dengan majikan mikro lazimnya
tidak mendapat sebarang elaun seperti mana yang dinikmati
pekerja-pekerja dalam syarikat besar.
“Kebanyakan golongan sasar ini, termasuk pekerja bawah majikan mikro
terdiri daripada golongan rentan dan sudah sewajarnya perlu diberi
perlindungan melalui dasar gaji minimum,” kata Riot menerusi satu
kenyataan di ibu negara, Selasa.
Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar
berbahasa Inggeris (Malaymail), Isnin, yang melaporkan bahawa
Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mencadangkan pelaksanaan gaji
minimum dalam kalangan majikan mikro dikaji semula.
MEF membuat cadangan itu atas alasan majikan mikro menghadapi kesukaran untuk membayar gaji minimum.
Majikan mikro adalah majikan yang menggaji lima orang pekerja atau kurang.
Riot berkata objektif utama gaji minimum adalah untuk membantu
golongan pekerja peringkat bawahan dan miskin memperoleh pendapatan yang
mampu menyara kehidupan mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata pengecualian gaji minimum kepada
majikan mikro akan menyebabkan segolongan pekerja tidak dapat menikmati
dasar kerajaan dan akan terus berada di bawah belenggu kemiskinan.
“Ini tidak menepati hasrat kerajaan untuk menjadi sebuah negara yang maju secara inklusif menjelang tahun 2020,” katanya.
MEF dinasihatkan agar membincangkan sebarang cadangan berhubung gaji
minimum dalam mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara yang mana
pandangan perwakilan pekerja dalam majlis itu dapat diperoleh sebelum
diputuskan oleh kerajaan, katanya. –BERNAMA
Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment