Monday, April 4, 2016

NUFAM masih tidak diiktiraf oleh MAB - Kenapa Malaysia Airlines main tarik tali?

Kenapa Malaysia Airlines main tarik tali?

Korporat
1 of 1
Ismail Nasarudin
Ismail Nasarudin
 
Malaysia Airlines Berhad (MAB) didakwa sengaja tarik tali berhubung surat tuntutan pengiktirafan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) sebagai wakil kesatuan bagi mewakili anak-anak kapal syarikat penerbangan itu.

Nufam mendakwa pihaknya sudah mengemukakan dua kali Borang 9A kepada MAS tetapi syarikat itu memberitahu surat pertama tidak ditemui dan surat kedua pula salah alamat.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata, surat ketiga sudah diserahkan dengan menggunakan alamat pejabat MAB di Sepang tetapi sehingga hari ini tidak ada jawapan daripada MAB.

"Kenapa MAB tidak mahu mengiktiraf Nufam sedangkan Nufam adalah kesatuan yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia. Kenapa mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk menyerahkan semula borang itu sedangkan proses itu tidak rumit," katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Ismail, Nufam perlu mendapatkan pengiktirafan MAB kerana ia adalah entiti baru, jadi segala proses perlu dilakukan semula.

Dakwa beliau, Majlis Jawatankuasa Pekerja yang ditubuhkan oleh MAB sengaja mengaburi kakitangan kerana majlis itu tidak mempunyai polisi yang boleh menentukan hak dan suara sebagai sebuah kesatuan pekerja.

"Majlis ini tidak berfungsi seandainya berlaku sesuatu kepada anak-anak kapal? Kalau ada pembuangan pekerja lagi selepas ini, apa jadi dengan nasib mereka? Majlis ini tidak ada locus standi," tambahnya.

Sikap acuh tak acuh MAB ini seolah-olah mahu mengelak keperluan-keperluan yang ditentukan oleh undang-undang dan perhubungan industri yang memberi kuasa kepada kesatuan pekerja untuk bersuara.

"Ketika negara mahu melaksanakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, kerajaan menguar-uarkan antara lain tentang kelebihannya hak dan suara pekerja.

"Soalnya kenapa pula MAB seolah-olah menongkah arus?," ujarnya. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment