Showing posts with label Gaji Minima. Show all posts
Showing posts with label Gaji Minima. Show all posts

Friday, February 8, 2013

Kesal gaji baru makin kurang (Sinar Harian)

Kesal gaji baru makin kurang
Wartawan Sinar Harian
8 Februari 2013
mogok
Mohd Yusof melahirkan kekecewaan pekerja terhadap gaji yang diterima bagi bulan Januari kepada Mohd Anuar, semalam.
mogok
Sebahagian pekerja membantah tindakan wakil majikan yang menghalang wartawan Sinar Harian bersama mereka, semalam.

FELDA TRIANG 2 - Lebih 200 pekerja ladang dekat sini, kesal apabila menerima pendapatan bersih antara RM300 hingga RM600 bagi Januari lalu, selepas pihak pengurusan menyelaraskan semua elaun sebagai gaji pokok mereka.
Ia berikutan pihak pengurusan Felda Plantation Sdn Bhd Triang 2 menyahut saranan Perdana Menteri supaya memberikan gaji minima RM900 sebulan.

Seorang pekerja, Mohd Yusof Ibrahim, 45, berkata, pihak pengurusan tidak pernah menerangkan mengenai perubahan pada gaji sehingga mereka terkejut melihat agihan gaji dalam slip gaji mereka.

Menurutnya, hampir semua elaun atau insentif yang diterima pekerja dimasukkan dalam gaji pokok menyebabkan gaji mereka berkurangan lebih separuh daripada biasa.

“Sebelum ini, kami dapat insentif khas sebanyak RM200, insentif kehadiran (RM85) dan elaun minyak motor (RM3 sehari) tetapi sekarang semua itu dimasukkan ke dalam gaji pokok.

“Jadi, kalau dah buat itu semata-mata untuk menjadikan gaji minima kami RM900, itu memang tidak wajar.

Memang kami tidak puas hati,” katanya semasa ditemui pada perhimpunan memprotes tindakan majikan menafikan hak mereka.

Sebelum ini katanya, upah bagi menuai buah sawit dikira 50 sen per tandan tetapi sistem itu diubah kepada per tan menyebabkan upah bagi setandan yang diperoleh tidak sampai 50 sen.

Mohd Yusof berkata, keadaan ini benar-benar mengelirukan pekerja malah ada yang beranggapan, pihak pengurusan sengaja mahu menipu pekerja kerana kejadian sama pernah berlaku dua kali sebelum ini.


Tidak faham teknik pengiraan
Sementara itu Rohaya Ismail, 46, berkata, keadaan ini turut berlaku kepada pekerja wanita yang mengutip biji lerai.

Menurutnya, sehingga kini, mereka masih tidak faham dengan teknik pengiraan gaji baru mereka kerana tiada penerangan diberikan.

“Kalau diikutkan, majikan kena bayar baki lebih RM500 setiap pekerja berikutan rombakan gaji yang mengelirukan itu.

“Dengan baki gaji bersih yang kami terima, apa yang termampu kami lakukan? Anak-anak masih kecil dan bersekolah, barang keperluan pula semuanya mahal sekarang ini. Ini penganiayaan kepada kami,” katanya.

Rohaya berkata, sepatutnya setelah lebih 10 tahun berkhidmat sebagai pekerja ladang di sini, mereka layak mendapat kenaikan gaji dari tahun ke tahun dan bukannya pengurangan gaji.

Sementara itu, Ishak Chik, 46, mahu majikan lebih telus mengenai perkara ini.

“Selalunya saya dapat antara RM800 hingga RM1,500, tetapi bulan lepas saya hanya dapat RM400.

“Saya faham kalau majikan tolak gaji masa saya bercuti tetapi saya ada juga buat kerja tambahan lain seperti cuci longkang seperti mana saya buat sebelum ini yang mempunyai elaun bagi kerja itu,” katanya.


Janji teliti dokumen semula
Dalam pada itu, Pengurus Besar Wilayah, Felda Global Ventures Plantations (M) Sdn Bhd, Mohd Anuar Johari, memberi jaminan akan meneliti dan menyiasat kedudukan gaji mereka.

Menurutnya, berdasarkan pelaksanaan gaji minima itu, pekerja sepatutnya menerima gaji lebih tinggi daripada sebelumnya dan bukannya semakin berkurangan.

“Secara asasnya, gaji sekarang yang diterima mesti lebih dari sebelum ini dan sekiranya berlaku sebaliknya, saya percaya ada kesilapan yang berlaku.

“Jadi, saya sendiri akan meneliti semua dokumen berkaitan. Kalau benar ada kesilapan, kita akan bayar semula baki gaji pekerja terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pekerja harus faham bahawa ada elaun yang boleh dimasukkan dalam gaji pokok namun akan membincangkan perkara itu pada Rabu depan.

Wednesday, January 9, 2013

Majikan didakwa manipulasi gaji minimum

ARKIB : 08/01/2013

Majikan didakwa manipulasi gaji minimum

PUTRAJAYA 7 Jan. - Kerajaan digesa memantau tindakan sesetengah majikan berstatus multinasional yang didakwa memanipulasi arahan pelaksanaan gaji minimum dengan menggabungkan gaji pokok asal bersama pelbagai elaun lain.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah mendakwa, pihaknya pernah menerima aduan pekerja industri berhubung tindakan seumpama itu.
Katanya, majikan tidak boleh bertindak sedemikian kerana bertentangan dengan arahan daripada Majlis Perundingan Gaji Negara berhubung pelaksanaan gaji minimum.

"Semasa taklimat gaji minimum oleh majlis itu baru-baru ini, mereka tidak jelaskan langsung tentang membenarkan majikan menggabungkan gaji pokok RM900 sebulan dengan elaun yang wujud sebelum ini.

"Tetapi apa yang berlaku sekarang terdapat majikan terutama dalam industri semikonduktor menggabungkan gaji pokok dalam lingkungan RM680 sebulan dengan elaun makanan, kehadiran dan lain-lain berdasarkan notis yang kami terima," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Perintah kadar gaji minimum berkuatkuasa awal bulan ini melibatkan kira-kira tiga juta tenaga kerja swasta dalam pelbagai sektor.

Pelaksanaannya diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April lalu dan diwartakan pada 16 Julai lalu manakala kadarnya akan dikaji setiap dua tahun.

Kadar gaji minimum sektor swasta iaitu bagi Semenanjung sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam

Mengikut Akta Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap pekerja bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya majikan boleh didenda masing-masing RM1,000 setiap pekerja sehari dan seterusnya denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, tindakan menggabungkan gaji pokok dan elaun hanya boleh dilaksanakan sekiranya terdapat persetujuan antara majikan dengan kesatuan atau pun pekerja sendiri.

Namun, katanya, apa yang dilakukan oleh majikan terbabit ialah mengambil keputusan sendiri tanpa berunding terlebih dahulu.

"Perkara ini mewujudkan diskriminasi dan ketidakadilan terhadap pekerja shift kerana mereka bukan bekerja pada waktu norma.

"Seharusnya majikan berbincang terlebih dahulu dan bukannya menggunakan kuasa autokratik untuk mengeluarkan notis mengingkari arahan majlis tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Wan Noorulazhar menggesa supaya mana-mana pekerja industri yang ditindas supaya tampil membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut. - Utusan Online, 8/1/2013, Majikan didakwa manipulasi gaji minimum