Wednesday, April 23, 2014

Dua Himpunan Pekerja pada 1 Mei 2014


KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 mengingatkan pihak berkuasa bahawa kebebasan berhimpun ialah hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, lebih-lebih lagi pada tarikh 1 Mei setiap tahun.

Perhimpunan 1 Mei yang merupakan Hari Pekerja adalah menjadi tradisi, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia untuk meraikannya dengan menggunakan hak sejagat ini.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata lama sebelum tercetusnya himpunan-himpunan Bersih, sudah wujud himpunan Hari Pekerja yang berterusan.

Justeru, katanya Bersih 2.0 menyokong sepenuhnya himpunan Hari Pekerja yang akan datang, dengan tema GST: Gasak Sampai Tumbang, yang dianjurkan sekumpulan badan bukan kerajaan, di Dataran Merdeka.

"Bersih 2.0 mengambil kesempatan ini untuk menyatakan solidariti kami bersama para pekerja. Hari Pekerja sudah berkembang daripada satu acara untuk memperingati perjuangan untuk keadaan bekerja yang baik kepada peluang untuk menangani dasar yang mempengaruhi keadaan hidup pekerja, yang turut menjadi kepentingan kepada pengundi seperti anda dan saya," tegas beliau dalam kenyataannya.

Tambah beliau, suasana itu dapat dilihat dalam rangkuman isu yang meluas yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Mei 1: daripada penentangan terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan ketidak telusan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) kepada desakan yang lazim untuk hak wanita, Orang Asal dan Orang Asli, pelajar dan pekerja asing serta gaji minima.

Di samping itu, tegas Maria, tidak dilupai bahawa pekerja turut merupakan pengundi.

Maka, katanya  himpunan tahun ini juga akan mendesak untuk pilihan raya yang bebas dan adil serta kebebasan asas lain, terutamanya kebebasan media, yang merupakan antara isu teras Bersih 2.0.

Beliau juga melihat isu yang dibangkitkan oleh Himpunan 1 Mei sebagai manifestasi pilihan raya yang tidak adil yang telah memberi kuasa kepada kerajaan yang tidak mempunyai mandat rakyat.

Dalam pada itu, Bersih 2.0 menytkan komitmen untuk turut menyertai perhimpunan aman itu bersesuaian dengan hak berhimpun dan bersara yang dijamin perlembagaan.

"Maka, Bersih 2.0 akan menyertai masyarakat madani yang lain untuk berhimpun pada 1 Mei di KLCC, 2 petang, sebelum berarak ke destinasi rancangan kami - Dataran Merdeka," kata beliau.

Bersih 2.0 turut menggesa orang ramai, sebagai rakyat Malaysia dan sebagai pekerja, supaya turun padang untuk himpunan ini dan mendesak supaya hak pekerja dimajukan. - Harakah Daily, 23/4/2014

No comments:

Post a Comment